Luar Negara

Selepas 6 Bulan Rentasi Angkasa, Kenderaan Robotik Mendarat Di Marikh

NASA berkongsi gambar pertama yang diambil oleh kenderaan robotik milik mereka di planet Marikh di Twitternya setelah enam bulan merentasi ruang angkasa.

Kenderaan itu dilancarkan ke Marikh pada Mei lalu dari California.

Ia bakal berada di sana selama 24 bulan bersamaan setahun di Marikh untuk membuat bacaan suhu dan merungkai misteri mengenai pembentukan planet berkenaan.

Pesawat itu dikenali sebagai InSight dan memiliki berat 360 kilogram.

Mengembara sejauh 301 juta batu dari bumi, ia tiba ke destinasi berkenaan pada Isnin sebelum menghantar gambar rasmi pertama dari kenderaan itu.

Gambar berkenaan memaparkan permukaan planet itu, tanah dan partikel debu berwarna merah.

Menurut pasukan kawalan misi itu, kenderaan berkenaan mengalami kesukaran selama tujuh minit sewaktu melakukan pendaratan.

Malah kata mereka, tujuh minit berkenaan begitu genting kerana ia berisiko memusnahkan kenderaan berkenaan.

“Pada waktu itu, ia memasuki atmosfera Marikh dengan perlahan-lahan dan akhirnya berjaya mendarat dengan selamat,” ujar pasukan terlibat.

Pendaratan itu disahkan oleh jurutera di Jet Propulsion Laboratory (JPL) yang berpangkalan di Los Angeles berdasarkan signal yang dihantar ke bumi menerusi dua satelit mini yang dilancarkan bersama, sebelum ini.

Malah, ahli pasukan tersebut dilaporkan bersorak dan bertepuk tangan sewaktu menerima data bahawa pesawat itu berjaya mendarat dengan selamat. –KLICK.MY