Hiburan Sensasi Terkini

Selepas 20 Tahun Bersama, Ziana Zain Failkan Penceraian

RUMAH TANGGA penyanyi terkenal, Ziana Zain kembali jadi perhatian apabila penyanyi Madah Berhelah itu dilaporkan sudah memfailkan penceraian di Mahkamah Syariah Shah Alam pada 3 April yang lalu.

Namun menurut sumber, suaminya, Armin Zaharin, 53, tidak bersetuju untuk melafazkan cerai dan meminta kes tersebut dibawa ke jawatan kuasa pendamai.

BACA: Suami Ziana Zain Didakwa Mahkamah Atas Tuduhan Cederakan Anak

Ziana bagaimanapun memilih untuk tidak mengulas apa-apa mengenai hasratnya untuk bercerai selepas 20 tahun mendirikan rumah tangga.

Peguam pemerhati Ziana Zain, Luqman Mazlan memberitahu, pasangan berkenaan sudah tidak tinggal sebumbung kerana Armin menjalani tempoh jaminan selain tidak dibenarkan mendekati keluarga anak guamnya.

“Keadaan mangsa iaitu anak lelaki Ziana Zain yang dicederakan oleh Orang Kena Tuduh (OKT) masih dalam trauma,” jelasnya.

Dalam pada itu, lapor mStar Online, Mahkamah Majistret Shah Alam menangguhkan penyerahan dokumen dakwaan Armin mencederakan anak lelakinya pada 25 Februari lalu.

Majistret Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin menetapkan 15 Mei depan sebagai tarikh baharu serahan dokumen.

Armin dan Ziana bernikah pada 9 Mei 1998.

Hasil perkahwinan mereka dikurniakan empat anak iaitu Muhammad Aiman, 18, Muhammad Ammar, 14, serta pasangan kembar, Muhammad Ariel dan Siti Nur Kaseh, 9. –KLICK.MY