Fesyen Gaya Hidup Terkini

Selagi Saya Hidup Jangan Cuba ‘Perkosa’ Industri Fesyen – Rizalman

BAGI penggemar fesyen tempatan, pasti nama Datuk Rizalman Ibrahim biasa didengar. Pereka tersohor ini sudah puluhan tahun bergelumang dalam bidang fesyen negara.

Titipkan sahaja nama-nama artis terkenal, pasti Rizalman pernah berkerjasama dengan mereka.

Namun, perkembangan dalam dunia fesyen hari ini tercemar dek artis atau selebriti yang mengambil kesempatan mengeluarkan jenama sendiri tanpa ilmu pengetahuan yang lengkap dalam bidang fesyen.

Dalam laporan disiarkan Gempak Astro, Rizalman berkata dia kurang bersetuju dengan individu ‘tangkap muat’ yang terjun ke bidang perniagaan pakaian dan fesyen demi mengaut untung semata-mata.

“Fesyen adalah satu industri yang serius dan dipandang tinggi, jadi bagi segelintir artis yang kurang tawaran berlakon atau jualan album tidak memberangsangkan, kemudian cuba untuk menjual baju: Tolonglah jangan! Selagi saya masih hidup dan ada dalam industri ini, jangan pernah berani.

“Jangan perkosa industri fesyen sebab fesyenlah yang boleh membina tamadun, mengubah ekonomi negara, mengubah watak seseorang individu dan memberikan pelbagai jaminan dalam aspek kehidupan manusia.

“Oleh kerana itulah, adanya program seperti Gen F yang akan memaparkan betapa sukar dan ada banyak kriteria untuk menjadi seorang pereka fesyen,” katanya yang ditemui pada majlis pelancaran rancangan realiti pencarian bakat pelapis pereka fesyen, Gen F di Hartamas, Kuala Lumpur kelmarin.

Menerusi rancangan tersebut, Rizalman bertindak sebagai juri tetap bersama usahawan fesyen terkenal Vivy Yusof.

Sebanyak 10 jenama fesyen bakal bersaing untuk gelaran Juara Gen F sekaligus membawa pulang wang tunai RM100,000 dan berpeluang mengeluarkan koleksi kapsul sendiri.

10 jenama tersebut ialah Kahou, Lolo, HN, Wan & Mary, Calaqisya, Jubahsouq, Ridzuan Alias, Larf, Seth & Luna dan Clothesology.

Gen F akan bersiaran selama lapan minggu pada setiap Ahad, 9 malam bermula 11 Mac 2018 di saluran Astro Ria (104) dan Astro Ria HD (123). –KLICK.MY

Tambah Komen

Klik di sini untuk komen

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.