Sensasi Terkini Viral

Sayang Anak Murid, Guru Mengajar Sekolah Tertinggi Di Dunia

Terharu dengan kisah guru lelaki dari Tibet ini yang mengasihi pelajar-pelajarnya melebihi  nyawa sendiri, niatnya hanya mendidik meskipun bertarung nyawa setiap hari di sekolah tertinggi di dunia.

Agaknya berapa orang yang sanggup menjadi tenaga pengajar di sekolah yang terletak pada 5,373 meter dari paras laut , lebih tinggi dari base camp pendaki yang berlepas ke Gunung Everest, dengan cuaca buruk dan kurang oksigen?

Pada ketinggian itu, bukan sahaja agak pelik apabila wujud sebuah sekolah rendah malah lebih pelik ada pula tenaga pengajar yang sanggup menjadi guru memandangkan cuaca yang agak `gila’ dan mengancam nyawa.

Namun kerana cinta yang mendalam tehadap profesyen perguruan, Qimei Ciren, 37, sanggup berdepan dengan risiko mengalami kekurangan oksigen, kulit kemerahan, arthritis (radang sendi) dan menahan suhu 5 darjah celcius setiap hari.

Memetik temubual dengan South China Morning Post, Ciren yang telah mengajar di situ selama lima tahun menceritakan, tugasnya bukan sekadar mengajar di dalam kelas, malahan dialah menjaga semua pelajar seperti anaknya sendiri.

Setiap hari rutinnya, mengejutkan semua pelajar, pastikan mereka mandi, bersarapan bersama mereka dan mengemas asrama dan juga mencuci pakaian anak muridnya.

Menuru lelaki berjiwa besar itu, antara cabaran hebat di sekolah itu adalah masalah oksigen, persekitaran yang kurang selesa serta kekurangan guru yang menyebabkan lebihan kerja bagi setiap guru.

Walaupun terpaksa berjauhan dengan keluarganya sendiri dan melalui segala kesukaran, dia tidak menyesal dan akan terus berjuang demi cintanya kepada mengajar dan mengambil berat tentang nasib pelajarnya.

“Saya setia di sini kerana ramai guru lain yang tidak bertahan lama akibat kerja yang sangat banyak. Jika saya tinggalkan mereka, bolehkan pihak sekolah mendapatkan guru lain yang menjaga mereka seperti saya? Ini yang membimbangkan saya,’’ katanya.

Namun berita baiknya, disebabkan masalah dialami itu, khabarnya sekolah itu akan disatukan dengan sekolah lain yang terletak di lokasi terdekat yang lebih selamat dan selesa. –KLICK.MY

Tag