Hiburan

“Saya Tidak Boleh Dibeli”-Ellie Suriaty Jawab Isu Kekecohan Di Mahkamah

RABU lalu kekecohan telah berlaku di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang dibuat oleh penyokong bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Mereka hadir bagi memberi sokongan kepada Najib yang didakwa di atas tiga pertuduhan pecah amanah dan satu pertuduhan salah guna kuasa.

Dalam kekecohan yang berlaku itu, kelibat pelakon Ellie Suriaty juga kelihatan memberi sokongan kepada bekas Perdana Menteri itu.

Kemunculannya itu mendapat pelbagai reaksi orang ramai teurtamanya netizen. Ramai yang mengecamnya dan tidak kurang juga yang menyokong.

Pelbagai tuduhan dilemparkan antaranya menuduh dia dibayar oleh pihak tertentu berhubung tindakannya menyokong bekas Perdana Menteri itu.

Namun, Ellie menafikan tuduhan tersebut dan menyifatkan sokongan itu bersifat perjuangan untuk menegakkan keadilan tanpa mengharapkan sebarang balasan.

“Apa yang berlaku di mahkamah itu bukan pakatan atau rancangan, semua yang ada di sana ada perasaan yang sama.

“Kami tidak dibayar, jangan sesiapa tuduh saya ambil duit, makan dedak atau sebagainya. Saya bukan orang yang boleh dibeli,” ujarnya.

Ellie membuat penjelasan menerusi video yang dimuat naik di laman sosial Facebooknya pada malam Sabtu.

Menerusi video berdurasi 17 minit itu, Ellie berkata, dia mula menyokong bekas presiden Umno itu selepas kerajaan Barisan Nasional (BN) tewas pada Pilihan Raya Umum ke 14 lalu.

Katanya, perkara itu didorong perasaan bimbang dengan nasib bangsa Melayu di bawah pimpinan kerajaan baharu Pakatan Harapan.

“Saya masuk Umno setelah kerajaan (BN) jatuh ia kerana saya kenangkan nasib anak bangsa kita nanti.

“Apa akan jadi dengan nasib anak Melayu dan agama Islam,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ellie juga kesal dengan kecaman netizen yang menuduhnya dengan pelbagai komen negatif terutama menyentuh tentang dirinya tidak menutup aurat.

Ujar Ellie, dia mempunyai alasan berkaitan hal itu.

“Ramai yang kecam kata saya kuat sembang berjuang demi agama, bangsa, negara tapi saya tak pakai tudung. Mereka kecam sedahsyat-dahsyatnya.

“Saya belum menutup aurat kerana masih aktif berlakon dan membawa pelbagai watak yang tidak bertudung,” jelasnya.

Apapun, sebagai negara demokrasi, seseorang itu mempunyai hak untuk menyokong pemimpin mana yang menjadi pilihannya.

Mungkin apa yang berlaku kepada Ellie ini adalah kerana pilihannya bukan pilihan majoriti. –KLICK.MY

Sumber: mStar Online

Tambah Komen

Klik di sini untuk komen

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.