Hiburan

“Saya Tak Buat ‘Prank Call’ Lagi”-Faizal Ismail Gesa Peminat Berhati-Hati

PENGACARA dan bekas penyampai radio, Faizal Ismail semalam memuat naik di Instagram satu paparan skrin seorang pengikut yang meminta penjelasannya berhubung satu panggilan prank (usikan) yang diterima baru-baru ini.

Individu tersebut memberitahu telah menerima panggilan daripada seseorang yang memperkenalkan diri sebagai sahabat Faizal dari sebuah stesen radio.

“Saya nak tanya, tadi saya dapat panggilan call prank dari Hot FM yang menyatakan dia rakan kepada FBI (Faizal) dan bekerja di sana dan dia membuat prank call kepada saya.

“Jadi, saya agak kurang percaya sebab dalam prank call itu saya ada bagi maklumat nama, nombor kad pengenalan serta alamat rumah.

“Jadi adakah betul prank call itu dari pihak Hot FM? Saya tak tahu nama yang bercakap dengan saya itu sebab saya rasa terkejut,” tanya pengikut itu.

Justeru, tidak mahu peminat-peminatnya tertipu, Faizal menggesa agar mereka berhati-hati dengan taktik penipuan mencuri data peribadi menggunakan namanya sebagai penyampai radio.

Menurut Faizal, dia bukan lagi penyampai di mana-mana stesen radio dan tidak terlibat dalam sebarang program yang diterbitkan oleh stesen berkenaan.

“Saya ingin memaklumkan yang saya tidak lagi bertugas dengan mana-mana stesen radio sejak 2013 dan sejak itu tidak terlibat dengan apa jenis program seperti prank call yang dimaklumkan oleh pengadu.

“Ini adalah sebahagian taktik untuk mencuri data peribadi. Sekiranya ada yang menerima panggilan seperti di atas adalah dinasihatkan supaya tidak dilayan langsung.

“Terima kasih dan sentiasa berwaspada,” tulisnya.

Untuk rekod, Faizal Ismail merupakan penyampai radio di Hot FM bermula tahun 2006 sehingga 2013.

Segmen kendaliannya bersama Fara Fauzana iaitu Panggilan Hangit telah mencetuskan fenomena dan diingati oleh pendengar sehingga kini. –KLICK.MY

Sumber: mStar Online