Gaya Hidup

“Saya Minta Maaf, Staf Tiada Kemahiran Tentang GST”-Nur Sajat

AHLI perniagaan, Nur Sajat didenda RM2,700 oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam selepas mengaku bersalah terhadap tiga pertuduhan gagal mengemukakan penyata Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) kepada Ketua Pengarah Kastam Malaysia.

Hakim Rofiah Mohamad turut memerintahkan penyanyi lagu ‘Bobo di Mana’ itu dipenjara enam minggu sekiranya gagal membayar denda.

Nur Sajat, 33, yang hadir ke mahkamah memakai blouse merah, berseluar hitam dan berkasut tumit tinggi membayar denda tersebut.

Mengikut pertuduhan, Nur Sajat atau nama penuhnya Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman sebagai orang kena cukai di bawah Akta GST 2014, gagal mengemukakan penyata terbabit dalam tempoh ditetapkan bagi tempoh bercukai bermula 1 April 2015 hingga 30 Jun 2015, bermula 1 Okt 2015 hingga 31 Dis 2015 dan bermula 1 Dis 2016 hingga 31 Mac 2016, seperti ditetapkan mengikut Seksyen 41(1) Akta GST 2014.

Nur Sajat didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam), Kompleks Kastam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Kelana Jaya, Petaling Jaya, antara 22 Okt 2015 hingga 16 Jun 2016.

Dia dihukum mengikut Seksyen 41 (6) Akta GST yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Kastam, Noor Asyikin Md Rodhi sementara ahli perniagaan itu tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Nur Sajat selaku orang kena saman (OKS) memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan atas alasan tidak mempunyai pengetahuan mengenai GST ketika kejadian.

“Saya minta maaf dan mengakui saya tiada pengetahuan tentang GST, staf saya sentiasa bertukar dan tidak mahir tentang GST sebab itu saya gagal mengemukakan penyata tersebut,” katanya.

Noor Asyikin pula memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal bagi memberi pengajaran kepada OKS dan masyarakat.–BERNAMA