Hiburan Sensasi Terkini

Rumah Tangga Noryn Aziz Bermasalah, Kini Dalam Proses Sulh

SUAMI kepada penyanyi Noryn Aziz, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja mengesahkan mereka kini melalui proses Sulh di Mahkamah Syariah.

Pada Mac lalu, Noryn dilapor menafikan sudah berpisah dengan suaminya dan menyatakan desas-desus yang berbangkit disebabkan dia kembali aktif menyanyi setelah sekian lama menyepi.

Raja Kamarul Bahrin difahamkan mengahwini Noryn, 41, atau nama sebenarnya Norazmahwati Abdul Aziz pada awal tahun 2010 dan dikurniakan seorang anak lelaki yang kini berusia empat tahun.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu memilih untuk merakamkan pendirian tertentunya dalam situasi yang mereka hadapi dengan membawa isu berkenaan ke majlis Sulh yang baru selesai sesi pertama.

“Walaupun pada asalnya saya tidak berhajat membuat apa-apa kenyataan mengenai isu ini tetapi bagi menjelaskan keadaan sebenar dan mengelak daripada pelbagai spekulasi dan andaian, adalah lebih wajar kenyataan ini dikeluarkan.

“Setelah mempertimbangkan sedalam-dalamnya dan berikhtiar cuba menyelesaikan situasi rumah tangga kami, saya telah mengambil keputusan mengemukakan kes perkahwinan kami ke Mahkamah Syariah.

“Saya berpendapat inilah jalan terbaik yang perlu diambil bagi cuba mengatasi isu rumah tangga kami dengan cara setertib mungkin,” ujarnya dalam satu kenyataan bagi menjelaskan kehadiran mereka di Mahkamah Syariah Kuala Terengganu, semalam.

Beliau mendoakan agar penyelesaian secara baik dapat dicapai dalam isu rumah tangga di samping memohon semua pihak menghormati ‘privacy’ mereka dalam masa menghadapi situasi semasa kes berada di Mahkamah Syariah.

“Semoga satu penyelesaian terbaik boleh dicapai. Kepada mereka yang mengambil berat ehwal kami dan juga anak kami yang masih kecil, saya ucapkan setinggi-tinggi terima kasih dan penghargaan,” ujarnya.

Semoga segalanya dapat diselesaikan dengan baik. Sekiranya tiada jodoh, harap mereka dapat berbaik demi anak. –KLICK.MY

Sumber: Utusan Online

Tambah Komen

Klik di sini untuk komen