Luar Negara Makanan

Restoran Stik Hidang Makanan Atas Papan Kayu Didenda

HIDANGAN di restoran ‘hipster’ selalunya dipersembahkan secara unik dan menarik seperti disusun di atas papan kayu sebagai pengganti pinggan yang biasa digunakan untuk makan.

Namun sedarkah anda penggunaan papan kayu yang sama secara berulang boleh menyebabkan makanan dicemari kerana papan kayu tidak boleh dibersihkan dengan sempurna.

Sebuah restoran stik di London, Ibrahim’s Grill and Steak House di Acocks Green, Birmingham dikenakan denda £50,000 (RM271,170) atas kesalahan menghidangkan makanan berulang kali di atas papan kayu.

Syarikat itu mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Birmingham pada 4 Januari lalu dan diperintahkan membayar denda berkenaan bersama kos £670 (RM3,633) dan £120 (RM650) pampasan kepada mangsa.

Majlis Perbandaran Birmingham sebelum itu sudah mengharamkan mereka menggunakan papan kayu atas faktor kebersihan selepas berlaku kes keracunan makanan pada Oktober tahun lalu namun pihak restoran masih berdegil.

Beberapa pegawai Kesihatan Alam Sekitar melawat restoran berkenaan selepas mendapat laporan keracunan makanan melibatkan 14 orang yang makan dalam satu acara parti di restoran itu.

Pegawai itu yang kembali membuat lawatan dua bulan kemudian mendapati ada peningkatan dari segi pengendalian makanan, namun papan kayu masih lagi digunakan.

Gambar yang didedahkan oleh Majlis Perbandaran Birmingham menunjukkan beberapa papan kayu di restoran itu diliputi kesan arang hitam dan calitan warna kesan lama digunakan.

Gambar papan kayu di restoran Ibrahim’s Grill and Steak House di Acocks Green, Birmingham

Kebimbangan pihak berkuasa adalah mengenai penggunaan papan kayu yang tidak boleh dibersihkan dan kakitangan terlalu bergantung kepada sarung tangan berbanding mencuci tangan mereka.

Bahan kimia pencuci juga tidak digunakan seperti yang dicadangkan oleh pengeluar. –KLICK.MY

Tambah Komen

Klik di sini untuk komen