Gaya Hidup

Remaja Lelaki Maut Terkena Renjatan Elektrik Ketika Cas Telefon

MALANG tidak berbau buat seorang remaja lelaki apabila maut akibat terkena renjatan elektrik daripada telefon bimbit yang sedang dicas di rumahnya di Kampung Gais Batu Pedas, Rembau, kelmarin.

Menurut Ketua Polis Daerah Rembau Deputi Superintendan Anuar Bakri Abdul Salam, mangsa, Mohd Aidi Azzhar Zahrin, 16, ditemui meninggal dunia jam 12.45 tengahari oleh ibunya yang mendapati anaknya tidak sedarkan diri.

Ibu mangsa berusia 51 tahun sebelum itu keluar rumah jam 7.45 pagi untuk ke tempat kerja dan mendapati anaknya dalam keadaan tertiarap di lantai yang disangkanya sedang tidur.

“Sewaktu berada di tempat kerja, wanita itu berasa tidak sedap hati lalu pulang ke rumah. Sebaik tiba dia melihat keadaan anaknya dalam posisi yang sama.

“Wanita itu cuba mengejutkan anaknya, namun tiada tindak balas, malah keadaan badan mangsa begitu sejuk,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro Online.

Katanya, wanita berkenaan menghubungi klinik kesihatan berdekatan sebelum pegawai perubatan yang tiba membuat pemeriksaan.

“Pemeriksaan pada tubuh mangsa tidak menemui kesan lebam atau luka, sebaliknya pendarahan di sebelah telinga kiri.

“Ketika itu mangsa sedang memakai ‘earphone’ dan telefon bimbit miliknya yang berada bersebelahan sedang dicas. Pemeriksaan lanjut mendapati remaja itu sudah meninggal dunia,” katanya.

Katanya, seorang daripada abang mangsa cuba mematikan suis elektrik sebelum menyedari terdapat kesan renjatan elektrik pada wayar berkenaan.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban dan hasil bedah siasat mengesahkan remaja itu maut akibat terkena renjatan elektrik,” katanya.

Justeru, sama-samalah kita mengambil tragedi ini sebagai iktibar dan pengajaran.

Kes sebegini pernah berlaku sebelum ini namun masih ada lagi yang gemar menggunakan telefon bimbit ketika sedang dicas. –KLICK.MY