Gaya Hidup

Rangka Manusia Prasejarah Berusia 8,000 Tahun Dijumpai Di Ulu Kelantan

RANGKA manusia prasejarah yang hampir lengkap berusia antara 6,000 hingga 8,000 tahun ditemui di Gua Chawan, Lembah Nenggiri di Kelantan pada 2 November lalu.

Rangka prasejarah dipercayai seorang remaja perempuan itu ditemui penyelidik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bersama sekumpulan penyelidik sejarah.

Ia membabitkan pegawai dan kakitangan bahagian Arkeologi, Jabatan Warisan Negara (JWN), penyelidik Jabatan Sejarah dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi berkata, selain rangka manusia, turut ditemui artifak lain semasa proses ekskavasi arkeologi di kawasan itu.

Berdasarkan kajian, artifak ditemui antaranya alat litik, sisa makanan berbentuk tulang haiwan, cengkerang siput, brutia costula serta serpihan tembikar tanah.

“Penemuan rangka manusia prasejarah Gua Chawan, Lembah Nenggiri ini jumpaan penting bagi arkeologi negara kerana dapat memberi fakta baru terhadap amalan pengebumian dan budaya kehidupan zaman prasejarah di Malaysia.

“Rangka manusia ini ditanam dalam keadaan sedikit terlipat dengan bahagian muka menghala ke utara manakala bahagian lutut ke arah selatan.

“Menurut Jabatan Warisan Negara, rangka ini dipercayai remaja perempuan berdasarkan tulang pelvis yang dijumpai,” katanya pada sidang media jumpaan rangka manusia prasejarah dan artifak arkelogi di Gua Chawan, Ulu Kelantan di sini, semalam.

Rangka manusia prasejarah tersebut telah dibawa keluar dari Gua Chawan pada 10 November lalu dan ditempatkan di makmal sementara konservasi JWN untuk kerja-kerja merekod dan pemuliharaan rangka secara menyeluruh yang mengambil masa sekurang-kurangnya 60 hari.

Segala jumpaan di Gua Chawan sangat penting bagi merungkai budaya masyarakat primitif dan kehadiran manusia prasejarah di sepanjang gugusan gua kompleks batu kapur Lembah Nenggiri, Ulu Kelantan. –KLICK.MY

Sumber: Harian Metro Online