Viral

Rakaman Jururawat Main Telefon Bimbit Tular Adalah Benar

VIDEO rakaman seorang jururawat sedang memberikan rawatan pernafasan kepada pesakit sambil bermain telefon bimbit di salah sebuah hospital negeri ini disahkan benar Jabatan Kesihatan Negeri Johor.

Sebelum itu, rakaman klip video berdurasi 29 saat ini tular di laman sosial Facebook dan dimaklumkan berlaku ke atas seorang pesakit yang sedang mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru.

Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Dr Selahuddeen Abd Aziz berkata, pihaknya bersama HSA memandang serius insiden berkenaan dan siasatan terperinci kini sedang dijalankan.

“Pihak (JKN Johor dan HSA) telah pun berjumpa waris keluarga bagi dapatkan gambaran terperinci dan beri penjelasan berhubung perkara ini. Ahli jawatankuasa penyiasat terdiri daripada pakar dan penyelia jururawat juga sudah melakukan siasatan.

“Kita sememangnya mempunyai tatacara pengendalian pesakit yang memerlukan bantuan pernafasan sambil menunggu sebelum dihantar ke Unit Rawatan Rapi (ICU).

“JKN Johor dan HSA memandang serius terhadap kakitangan yang tidak mematuhi ketetapan ini. Jika terdapat unsur kecuaian hasil daripada penyiasatan, kakitangan tersebut boleh dikenakan tindakan tegas,” katanya dalam satu kenyataan.

Selahuddeen berkata, berhubung insiden itu juga, arahan penambahbaikan serta-merta langsung dikeluarkan bagi memastikan perkara itu menjadi peringatan kepada kakitangan lain agar sentiasa patuh kepada tatacara ditetapkan.

Pada masa sama, beliau turut menegaskan bahawa fasiliti Kementerian Kesihatan (KKM) adalah kawasan larangan mengambil gambar dan video sekali gus menjadikan ia satu kesalahan sekiranya dibuat.

“Perkara ini tidak dibenarkan terutama sekali gambar atau video pesakit dalam wad kerana ia melanggari etika dan kerahsiaan pesakit. Jadi kalau ada sebarang masalah lebih elok laporkannya kepada pihak hospital,” katanya. –KLICK.MY

Tambah Komen

Klik di sini untuk komen

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.