Sensasi Terkini Viral

Putus Selera, Wanita Ini Nyaris Tertelan Paku Dalam Martabak

Bulan puasa memang bulan rezeki untuk para peniaga menjual juadah berbuka di bazar Ramadan. Namun, dalam mengejar rezeki jangan kita abaikan aspek kebersihan.

Biasanya pelanggan sering mengeluh selain harga mahal, mutu makanan yang dijual adakalanya menghampakan. Kadang-kadang ada makanan yang dijual sudah basi.

Bagi seorang pembeli yang dikenali sebagai Ifti Liz Mazlan, dia bernasib malang apabila membeli sekeping martabak yang mengandungi sebatang paku di dalamnya.

Dia memuat naik gambar martabak dan paku tersebut di dalam Facebooknya. Namun, lokasi dia membeli martabak itu tidak dijelaskan.

Menurutnya, bukan baru kali pertama dia beli martabak ada benda asing di dalamnya tetapi sudah masuk kali kedua.

Katanya kali pertama dia beli martabak ada kulit telur namun kali kedua ini lebih teruk apabila terdapat sebatang paku.

Dengan nada sinis dia menulis kapsyen mengatakan penjual mungkin seorang tukang kayu yang mencari pendapatan sampingan di bulan puasa.

Disebabkan hal itu, dia terus membuang martabak tersebut kerana sudah tiada selera lagi untuk menjamahnya.

Rata-rata rakan Facebooknya terkejut dengan penemuan paku tersebut. Ada juga yang bersyukur kerana dia tidak tertelan paku berkenaan.

Kepada peniaga-peniaga yang menjual di bazar Ramadan, tolonglah pastikan makanan yang anda jual berkualiti.

Mungkin dalam hal ini, kejadian tersebut di luar kawalan namun tidak salah kalau kita berhati-hati ketika menyediakan juadah untuk dijual. Tak gitu! –KLICK.MY