Semasa

Pramugari Berhati Mulia Kendong Warga Emas

Sabtu lalu, gambar memaparkan seorang pramugari dari syarikat penerbangan Garuda Indonesia mendukung seorang warga emas turun dari pesawat penerbangan Kuala Lumpur – Jakarta telah menjadi viral.

Sebagai penghargaan atas perilaku murni tersebut, pramugari terbabit yang dikenali sebagai Vera dan pengurus perkhidmatan penerbangan Ninik Septinawati, diberikan anugerah oleh Menteri Pengangkutan Indonesia Budi Karya Sumadi.

“Tindakan spontan mereka dalam membantu penumpang yang memerlukan bantuan adalah sangat penting dalam sektor pengangkutan,” kata Budi menerusi Twitter Kementerian Pengangkutan.

 

Difahamkan, selepas pesawat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta pada petang Sabtu, seorang warga emas yang ditemani seorang ahli keluarganya kekal di tempat duduk walaupun penumpang lain telah meninggalkan pesawat.

Apabila mendapat tahu warga emas itu merupakan sebahagian daripada rombongan jemaah umrah dan perlu meneruskan perjalanan dengan penerbangan seterusnya, Vera terus menawarkan bantuan memandangkan bantuan kerusi roda masih belum tiba.

Vera dan  Ninik Septinawati menawarkan diri untuk membantu dengan cara mengendong warga emas tersebut di belakang mereka untuk keluar dari pintu pesawat.

Kerusi roda yang ditunggu kemudian tiba tidak lama selepas Vera mengendong penumpang itu, namun kebaikan hati pramugari berkenaan mendapat pujian ramai.