Sensasi Terkini Viral

Polis Tukar Rumah Pelacuran Jadi Pusat Pengajian Islam

Seorang anggota polis muda Indonesia menukarkan sebuah rumah kayu yang dulunya sebuah pusat pelacuran dan kedai arak kepada pusat pengajian agama Islam menggunakan wang tabungannya sendiri.

Bripka La Ode Astar membeli tanah tempat pelacuran yang terletak di lingkungan Bariya, Kelurahan Baadia, Baubau, Sulawesi Tenggara sebelum membangunkan tempat mengaji yang dinamakannya, Al Fikri.

Tempat maksiat itu dibina pada 2006, namun awal 2017 La Ode Astar bertekad mengubah rumah tersebut menjadi tempat pengajian agama.

Kini, alunan ayat-ayat suci Al-Qur’an bergema di situ setiap petang sebelum berlangsung solat Maghrib berjemaah, jumlah pelajar di pusat pengajian itu telah mencecah 300 orang.

 

Usaha murninya tidak terhenti di situ sahaja, dia yang menyedari masjid berdekatan perkampungannya terlalu jauh, turut berjimat cermat dan mengumpul wang gaji dan membeli sebidang tanah lagi bagi mendirikan masjid untuk kegunaan orang ramai.

Sikap mulianya itu mendapat pujian daripada majikannya sendiri.

“Saya bangga anggota saya kerana jika saya sendiri belum tentu mampu melakukan apa yang dilakukan dia. Di saat pemuda seusianya sibuk berfikir untuk membeli motosikal, dia memilih untuk membina masjid,’’ ujar ketuanya Brig. Jeneral Polis Rikwanto.

Selain itu, pemuda itu turut mendapat perhatian ahli politik di kawasannya yang turut hadir ketika sesi perletakan batu tanda atas tanah yang hendak didirikan masjid yang turut dinamakan Masjid Al-Fikri itu. — KLICK.MY