Hiburan Terkini

Poligami Bukan Untuk Bermegah, Perlu Ada Ilmu – Ashraf Muslim

ENGGAN bermegah dengan gelaran ‘ikon poligami’ yang diberikan netizen, pelakon Ashraf Muslim berpendapat setiap orang perlu mempunyai ilmu sebelum berkahwin apatah lagi jika memilih untuk berpoligami.

Menurut Ashraf, dia sedar isu poligami cukup sensitif untuk diperkatakan secara terbuka, jadi hal berkaitan rumah tangga tidak harus dicampuri pihak luar sebaliknya wajar diselesaikan dalam kalangan keluarga itu sendiri.

Katanya, sikap toleransi penting dalam menyelesaikan isu antara suami isteri dan pihak luar sering kali tidak memahami apa yang sebenarnya berlaku dalam keluarga berpoligami.

“Bagi saya, suami sebagai ketua keluarga perlu bijak… bukan saja daripada segi kewangan malah aspek lain juga. Namun isteri perlu turut sama membantu bagi membentuk sebuah unit keluarga bahagia.

“Jika memilih perceraian sebagai penyelesaian sekalipun, ia perlu disusuli dengan ilmu. Ini kerana ia bukan sekadar melafazkan talak semata-mata,” katanya, berkongsi tips kerukunan rumah tangga.

Bagi Ashraf, perceraian tidak terhenti selepas lafaz diungkap sebaliknya ada tanggungjawab yang menyusul selepas itu.

Tambahnya, perancangan perlu dibuat untuk tempoh 10 hingga 20 tahun akan datang mengenai apa yang perlu dibuat, selain diiringi doa agar beroleh kebahagiaan.

Ashraf mendirikan rumah tangga dengan Noor Dayana Lokman di Makkah pada 30 Ogos 2011 sebelum menikahi Wan Sakinah Ahmad Saburi, selaku isteri keduanya di selatan Thailand pada 7 Julai 2013.

Hasil perkongsian hidup dengan dua wanita itu, pelakon berkenaan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Sarah Ashraf, Anas Ashraf dan Adam Ashraf.

Sempat ditanya mengenai kemelut rumah tangga dihadapi pemuzik Ude, iaitu suami kepada Izreen Azminda yang juga teraju gandingannya dalam drama bersiri Geng Tadarus, Ashraf berharap semua pihak mengambil jalan terbaik menyelesaikannya.

“Keputusan sudah dibuat, jadi tiada apa yang boleh dilakukan lagi. Semoga ia adalah penyelesaian terbaik buat semua pihak.

“Apa yang penting, masing-masing jangan buka aib sesiapa kerana tindakan itu boleh mengeruhkan lagi keadaan. Banyak hati yang perlu dijaga kerana perceraian bukan hanya membabitkan pihak suami dan isteri saja malah turut babitkan keluarga,” katanya.

Ashraf percaya dalam kes Ude, semua pihak terbabit sudah menilai segala kebaikan dan keburukan dalam setiap langkah yang diambil.

“Jadi jangan percikkan api lagi. Mereka di luar, usah tokok tambah cerita yang boleh menjadikan perkara itu sensasi terutama dalam media sosial.

“Kita tidak tahu apa yang sebenarnya berlaku, biarlah mereka selesaikan secara baik,” katanya.

Minggu lalu, Ude, 30, yang diwakili peguam syarie, Datuk Mohd Zaidi Mohd Zain memfailkan permohonan cerai secara baik terhadap Intan Liana Saleh, 32, di Mahkamah Rendah Syariah Gombak, Kuala Lumpur. –KLICK.MY

Sumber: BH Online