Hiburan Terkini

Pok Ya Cong Codei Dapat Hak Paten, Rezeki Sabri Yunus Kian Murah

SEBUT sahaja Pok Ya Cong Codei pasti ramai yang mula tersenyum lebar. Terbayang watak Pok Ya ‘gedebe’ lakonan Sabri Yunus dalam drama tersebut.

Drama arahan dan lakonan pelakon dari Kelantan ini menjadi tular di media sosial gara-gara perkataan ‘cong codei’ yang sebenarnya merujuk kepada Hotel Concorde.

Selepas tular di media sosial, perkataan ‘cong codei’ mula diguna pakai oleh orang ramai.

Tidak mahu perkataan itu disalah guna, Sabri memberitahu dia sudah mendapatkan Hak Paten terhadap nama Pok Ya Cong Codei sejak sebulan lalu.

Keputusan itu diambil selepas mendapat nasihat rakan peguam apabila nama yang tular menerusi telefilem Pok Ya Cong Codei itu, digunakan secara meluas oleh pihak lain bagi tujuan mengaut keuntungan.

“Saya dimaklumkan banyak pihak ambil peluang mempromosikan produk mereka menggunakan nama itu sebaik watak dan telefilem ini diperkatakan ramai serta tular.

“Saya tidak kisah sekiranya ia hanya bisnes kecil sekadar menjual topi atau baju T kerana anggap berkongsi rezeki. Mereka juga dikira membantu promosi. Tetapi ada syarikat besar yang menggunakan nama itu tanpa mendapatkan persetujuan terlebih dahulu.

“Ini membuatkan peguam yang saya kenali menyarankan agar memohon Hak Paten kerana bimbang ia disalah guna dan tidak mahu nanti saya pula yang dipersalahkan,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro Online.

Tidak dinafikan nama pelakon sitkom popular Pi Mai Pi Mai Tang Tu ini kembali bersinar selepas telemovie tersebut tular. Malah, Sabri sendiri mengakui dia menerima tawaran demi tawaran untuk menjadi duta produk.

Sebutan nama hotel yang lucu dan menjadi ‘trending’ di laman sosial itu, turut menarik minat Richworld Travel & Tours untuk memperkenalkan pakej umrah berserta ziarah dengan menginap di Hotel Concorde Makkah dan Madinah.

“Sejak Pok Ya tular, ramai yang mengajukan tawaran kepada saya untuk menjadi duta produk. Namun saya tergerak hati untuk bersama Richworld Travel disebabkan mereka menonjolkan Pok Ya, bukan Sabri Yunus,” katanya yang ditemui ketika sidang media selepas pelantikannya sebagai duta Umrah Cong Codei bersama Pok Ya, semalam.

Sabri mengakui, pakej umrah yang lengkap dengan program khatam al-Quran dan majlis tahlil turut membuka hatinya untuk menjalin kerjasama berkenaan. –KLICK.MY

Tambah Komen

Klik di sini untuk komen