Luar Negara

Pisau Masih Terpacak Di Kepala, Lelaki Ini Selamba Ke Klinik Sendirian

SEORANG penyambut tetamu di sebuah klinik terkejut apabila seorang lelaki yang berlumuran darah dengan pisau terpacak di kepala berdiri di hadapannya sambil bertanya ada tak doktor yang lapang untuk merawatnya.

Malah dia juga seakan tidak percaya melihat lelaki tersebut berjalan masuk ke situ bersama basikalnya.

Menurut cerita, lelaki yang dikenali sebagai Shaun itu sedang berbasikal untuk ke tempat kerjanya di Strand, berhampiran Cape Town, Afrika Selatan, apabila dia diserang dua lelaki, salah seorang daripada mereka bertindak menikam kepalanya.

Pisau yang berukuran enam inci itu ditikam di kepala Shaun apabila dua lelaki tersebut cuba merampas basikalnya, tetapi dia melawan balik dan berjaya mengalahkan mereka berdua.

Dia kemudian mengayuh basikalnya sejauh setengah kilometer dengan pisau masih tertusuk di kepala, untuk bertemu doktor bedah tempatan, Dr Brendan Venter, 48.

“Salah seorang doktor wanita kami sedang bertugas dan dia diberitahu terdapat pesakit datang dengan pisau.

“Melihat pisau melekat di kepalanya adalah sesuatu yang dramatik, tetapi dia sangat tenang walaupun banyak pendarahan.

“Dia bertanya dengan sopan sama ada kami mempunyai seorang doktor yang boleh merawatnya.

“Doktor itu memutuskan untuk dia sendiri memandu Shaun ke hospital, tanpa menunggu ambulans dan budak lelaki itu bertanya sama ada dia boleh meninggalkan basikalnya di situ.

“Pesakit itu sangat bertuah kerana bilah pisau itu bengkok dan tertusuk di bahagian luar tengkoraknya.

“Dia sangat bernasib baik kerana pisau tidak terkena tempat yang boleh membawa maut.

“Dia berlawan untuk mendapatkan basikalnya. Dia tiba dan masuk dengan tenang untuk mendapatkan bantuan.

“Ini bukanlah sesuatu yang berlaku setiap hari dan nampaknya ia dilakukan sekumpulan budak yang beberapa kali melakukan serangan minggu lepas dan mereka akan ditahan.

“Basikalnya tak mahal tetapi ia digunakan untuk ke tempat kerja setiap hari. Mengapa mereka menggunakan kekerasan seperti itu adalah luar jangkauan saya,” kata Dr Venter.

Shaun merupakan seorang pengurus terkenal di restoran Shoo She, sebuah restoran sushi tempatan dan tempat makan Asia di Strand dan dia berbasikal ke tempat kerja setiap hari.

Dia digegaskan ke Hospital Tygerberg dan menjalani pembedahan kecemasan. Seorang jurucakap mengesahkan dia stabil.

Perkhidmatan Polis Afrika Selatan sedang menyiasat serangan itu. –KLICK.MY

Tambah Komen

Klik di sini untuk komen

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.