Luar Negara

Pesawat Milik Bangladesh Terhempas, Terbakar, 49 Maut

SEBUAH pesawat milik Bangladesh terhempas dan terbakar berhampiran lapangan terbang di Kathmandu semalam, dalam nahas udara terburuk Nepal sejak tiga dekad lalu menyebabkan 49 maut.

Pihak berkuasa berkata, terdapat 71 penumpang menaiki pesawat turboprop US-Bangla Airlines dari Dhaka apabila ia terhempas di timur landasan dan terbabas ke padang bola sepak berhampiran.

Penyelamat memotong bahagian bangkai pesawat yang remuk dan terbakar untuk menarik mangsa keluar, sementara penumpang lain ditemui terhempap di bawah serpihan yang bertaburan ketika pesawat menjunam ke tanah.

“Seramai 40 orang maut di tempat kejadian manakala sembilan lagi maut di dua hospital di Kathmandu,” kata jurucakap polis Manoj Neupane kepada AFP, menambah 22 lagi dirawat di hospital, sesetengah dalam keadaan kritikal.

Mangsa terselamat, Sanam Shakya, yang memanjat tingkap untuk keluar dari pesawat terbakar berkata, beliau tidak terfikir pesawat bermasalah sehingga ia menjunam ke tanah.

“Pesawat naik dan turun, ke kanan dan kiri, atas bawah.. justeru saya fikir hanya disebabkan trafik udara. Namun saya hanya tahu pesawat bermasalah apabila ia terpaksa mendarat,” kata mangsa berusia 33 tahun di katil hospital.

Punca nahas tidak jelas namun kenyataan daripada pihak berkuasa lapangan terbang berkata, pesawat ‘hilang kawalan’ ketika mendarat.

Sementara itu, Ketua Eksekutif US-Bangla Airlines Imran Asif, menyalahkan pengawal trafik udara (ATC) di sini, mengatakan pengawal terbabit menyebabkan pendaratan ‘teragak-agak.’

Image result for nepal plane crash 49 killed

“Juruterbang kami adalah seorang jurulatih pesawat Bombardier. Jam penerbangannya lebih 5,000 jam. Berlaku kesilapan daripada menara kawalan,” kata Asif kepada media di luar pejabatnya di Dhaka, Bangladesh.

Satu sumber lapangan terbang yang enggan dikenali berkata, mungkin berlaku kekeliruan antara ATC dan juruterbang berhubung penghujung landasan tunggal di sini, dirujuk sebagai ‘Runway 02’ dan ‘Runway 20’, untuk pendaratan.

Saksi berkata, pesawat turboprop Bombardier Dash 8 Q400 buatan Kanada itu terhempas ketika membuat cubaan kedua pendaratan di lapangan terbang, berhenti secara mendadak kerana kehilangan berat sebaik menjunam ke landasan dan terbakar.

“Pesawat sepatutnya mendarat lurus namun ia melencong ke haluan lain kemudian terhempas ke arah padang,” kata tukang cuci lapangan terbang, Sushil Chaudhary yang menyaksikan nahas itu. — LUBUKCERITA

Tambah Komen

Klik di sini untuk komen

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.