Sensasi Terkini

Persembahan Konsisten Melayakkan Elvira Bergelar Juara Mentor Otai

SELEPAS lima minggu berentap, protege Elvira, 38, dinobatkan sebagai juara program realiti Mentor Otai yang berlangsung di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam, malam tadi.

Dalam pentas akhir semalam, Elvira atau Elvira Carrie Olga Arul menyampaikan dua buah lagu iaitu Bukan Dia Tapi Aku nyanyian asal Judika dan Nur Nilam Sari duet bersama Azlan Typewritter.

Elvira menewaskan tiga orang pesaingnnya iaitu Azee yang juga protoge Zarul Husin, Alina (Siti Sarah) dan AJ (Tam Spider).

Kemenangan itu melayakkan Elvira menerima hadiah wang tunai berjumlah RM100,000

Bercerita mengenai kemenangan Elvira, juri tetap, Edry Abdul Halim berkata protégé Misah Omar itu mempunyai kelebihan dari minggu pertama dan dilihat lebih menonjol daripada yang lain.

“Kita nampak kelebihan Elvira dari minggu pertama. Kami ada memikirkan bagaimana mahu membuat keputusan agar masing-masing mendapat peluang.

“Tapi Elvira nampak lebih menonjol dan dia sangat memuaskan hati kami. Dia boleh lakukan persembahan yang baik.

“Malah, kami rasa penyanyi profesional pun tak mampu nak lakukan persembahan seperti dia,” kata Edry memetik laporan mStar Online.

Sementara itu, Azee atau nama sebenarnya, Aznie Ariffin, 41, yang juga protege Zarul Hussin dinobatkan sebagai naib juara, sekali gus menerima ganjaran wang tunai RM50,000 dan trofi.

Protege kepada Siti Sarah, Alina Hassan memenangi tempat ketiga yang menawarkan hadiah RM20,000 dan trofi manakala protege Tam Spider, Kamarol Azril Al’Azemi atau AJ terpaksa berpuas hati di tempat keempat dengan membawa pulang wang tunai RM5,000 berserta trofi.

Pemarkahan pada peringkat akhir ditentukan menerusi 50 peratus juri profesional, 20 peratus juri awam, manakala undian peminat menerusi laman sesawang mewakili 30 peratus.

Terdahulu, protege Zarul, Lokman terhenti langkah pada persaingan separuh akhir, Ahad lalu.

Mentor Otai yang dihoskan oleh Elly Mazlein dan Haziq Hot FM ini menampilkan komposer terkenal, Edry Abdul Halim dan penyanyi serta pelakon, Mark Adam selaku juri tetap. –KLICK.MY

Foto: Instagram TV3

Tambah Komen

Klik di sini untuk komen

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.