Hiburan Terkini

Pernah Gugur, Mia Ahmad Kuatkan Semangat Kongsi Berita Kehamilan

PERNAH mengalami keguguran beberapa bulan lalu membuatkan pelakon Mia Ahmad bimbang untuk berkongsi berita gembira tentang kehamilannya.

Menerusi entri di Instagram, pelakon itu bagaimanapun menguatkan semangat untuk berkongsi dan memberitahu dia kini hamil.

“Dengan penuh kesyukuran, saya ingin mengumumkan saya kini sedang hamil, takut juga mahu umumkan tentang ini kerana pernah keguguran beberapa bulan lalu.

“Tetapi ia membuatkan saya lebih kuat dan memberanikan diri untuk memberitahu semua orang tentang kehamilan ini.

“Saya harap semua orang memahami keadaan saya dan minta maaf jika ada di antara kamu yang terkejut dengan hal ini,” tulisnya.

Selain itu, Mia memohon maaf kepada pihak produksi kerana terpaksa menolak beberapa program kerana perlu menjaga kesihatan pada awal kandungan.

“Saya ingin mohon maaf kepada semua produksi kerana terpaksa tolak tawaran lakonan, penggambaran, penampilan majlis, temu ramah dan sebagainya kerana perlu menjaga kesihatan.

“Saya juga mohon maaf kepada pihak media kerana tidak membalas panggilan telefon dan WhatsApp yang dihantar.

“Saya harap semua mendoakan proses kehamilan saya dalam keadaan baik dan semoga Allah memberkati kita semua. Amin,” katanya.

Tahniah kami ucapkan kepada Mia dan suami, Izham Tarmizi Roslan. –KLICK.MY