Sensasi Terkini Viral

Perkahwinan Wanita dan Pesakit Kanser Siap Dalam 24 Jam

Tragic wedding Credit: MEN Syndication

Mencari cinta sejati pada zaman yang serba materialistik kini tidak semudah menonton di skrin televisyen atau membaca novel terlaris di pasaran.

Sanggupkah anda berkahwin dengan pasangan yang anda cintai dalam masa sama menerima hakikat hidup pasangan anda tinggal beberapa hari sahaja lagi?

Mampukah anda hidup bersama pasangan yang sakit terlantar, tidak mampu mengurus dirinya, mendengar keluhannya dan melayan tangisnya untuk hari-hari terakhirnya?

Di Rochdale, England, ternyata masih wujud pasangan yang mencintai satu sama lain tanpa perlu sebab.

Ray Kershaw, 63, menyimpan hasrat untuk menikahi kekasih hatinya Tracy Brooks, 45, namun terpaksa menguburkan hasrat indah itu selepas disahkan menghidap kanser Mac lalu dan kini menghitung hari-hari terakhirnya di dunia ini.

Impian mereka yang disangka telah berkubur bersama penyakit paling digeruni dunia itu rupanya masih mampu mereka kecapi hasil bantuan masyarakat Rochdale yang sangat prihatin dan kaya sikap perikemanusiaan.

Dalam tempoh 24 jam sahaja, majlis perkahwinan mereka direalisasikan oleh sekumpulan orang awam yang prihatin tampil membantu selepas status mengumpul dana perkahwinan mereka dimuatnaik di facebook Gift Of Wedding, sebuah badan kebajikan yang membantu golongan kurang mampu berkahwin.

Mereka dikahwinkan di Springhill Hospice, Rochdale dalam satu majlis yang sempurna sekali, majlis itu direalisasikan hasil usaha keras Gift of A Wedding dan sumbangan derma daripada orang ramai.

Sepatutnya majlis tersebut dijadualkan berlangsung pada 2 Jun akan datang namun kerana keadaan Ray yang semakin kritikal majlis perkahwinan dicepatkan kepada 20 May lalu.

Dalam beberapa jam pihak penganjur mengumumkan derma kilat di Facebook mereka, pelbagai pihak termasuk orang perseorangan dan korporat segera menawarkan diri untuk membayar sewa kereta, bunga, tempat, kek dan kesemua persiapan perkahwinan.

Pasangan kekasih itu diraikan dalam majlis dihadiri sahabat, keluarga terdekat dan pasukan jururawat yang menjaga Ray di situ selama ini.

Anak saudara Tracy, Melissa King berkata, pasangan tersebut berasa sangat terharu dengan kemurahan hati semua pihak yang menjadikan perkahwinan mereka satu kenyataan.

“Mereka berdua tahu kanser itu tidak dapat dirawat lagi, tiada apa yang mereka mahukan kecuali perkahwinan.

“Apa yang dilakukan Gift of Wedding sangat menakjubkan, mereka bersengkang mata memastikan majlis menjadi kenyataan dan Ray dan Tracy amat berterima kasih kepada semua yang terlibat,’’ katanya. –KLICK.MY