Hiburan

Penyebaran Video Skandal, Norjuma Bakal Berdepan Saman Fitnah

BEKAS personaliti televisyen, Norjuma Habib Mohamed berdepan dengan satu saman fitnah daripada Fame Up Entertainment berhubung penyebaran sebuah video fitnah sekitar Mac tahun lalu.

Dalam video fitnah tersebut, plaintif iaitu Pengarah Urusan Fame Up Entertainment, Zuriawati Zaidi, 39, didakwa memiliki sebuah video skandal seks melibatkan dua individu kenamaan negara.

“Saya difitnah oleh defendan (Norjuma dan seorang individu lain) memiliki sebuah video seks melibatkan dua orang kenamaan.

“Disebabkan fitnah tersebut, reputasi dan nama baik syarikat saya terjejas,” kata Zuriawati dalam satu sidang akhbar.

Sehubungan itu, plaintif yang diwakili peguam Azlan Abdul Razak daripada Azlan Shah & Partners, telah pun memfailkan writ saman pada Selasa lalu di Mahkamah Seksyen Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, seorang lagi individu lain yang tidak didedahkan identitinya turut berdepan saman serupa kerana terbabit dalam penyebaran video fitnah berkenaan. –Kosmo! Online