Jenayah Luar Negara Politik Terkini

Penjenayah Perang Bosnia Minum Racun Ketika Perbicaraan

SUASANA di bilik mahkamah di The Hague gempar setelah seorang penjenayah perang Bosnia bertindak membunuh diri dengan meminum racun.

Slobodan Praljak, 72, bertindak sedemikian apabila rayuannya ditolak, demikian menurut media kerajaan Croatia seperti dilaporkan akhbar The Telegraph kelmarin.

Praljak yang merupakan bekas ketua tentera Croatia sebelum ini dijatuhi hukuman penjara 20 tahun kerana jenayah perang di Mostar Timur.

Ketika mendengar keputusan panel hakim Tribunal Jenayah Antarabangsa bahawa hukuman ke atasnya dikekalkan, Praljak kelihatan meneguk sesuatu daripada sebuah botol kecil berwarna coklat selepas menjerit: “Saya bukan penjenayah perang.”

Ketua hakim kemudian meminta tirai dilabuhkan, manakala perbicaraan rayuan di mahkamah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu itu ditangguhkan.

Seorang pengawal mahkamah memberitahu wartawan Praljak telah diberikan rawatan perubatan namun Stesen televisyen Croatia kemudian melaporkan bahawa dia telah meninggal dunia.

Praljak merupakan seorang daripada enam bekas pemimpin politik dan tentera Croat-Bosnia yang hadir ke  mahkamah rayuan.

Mereka mengemukakan rayuan berhubung hukuman penjara kerana terlibat dalam jenayah perang antara 1992 hingga 1995. Ketika itu militia Croatia cuba mewujudkan sebuah negeri untuk bangsa Croat di Bosnia dengan cara mengusir orang Islam dari bandar dan perkampungan. –KLICK.MY

Tambah Komen

Klik di sini untuk komen