Terkini Viral

Peniaga Online Kembara 850km Semata Nak Belasah Pelanggan

DI Malaysia, acapkali juga kita dengar rungutan peniaga online berhubung sikap pelanggan yang cerewet serta pelbagai ragam.

Walau bagaimanapun ia biasanya berakhir di media sosial sahaja biarpun kadangkala berlaku perbalahan dan tuduh menuduh hingga menjadi bahan viral.

Namun begitu di China, kemarahan seorang peniaga online di laman web beli belah terkenal Taobao terhadap pelanggannya begitu ekstrem sehingga dia nekad mengembara sehari semalam bagi menjejaki pelanggan berkenaan demi membalas dendam.

Seorang peniaga bernama Zhang, dikatakan mengembara 850 kilometer ke Zhengzhou, wilayah Henan China semata-mata hendak membelasah wanita bernama Xiao Die yang membuat aduan lewat terhadap barang yang dipesan daripadanya.

Sebaik sahaja bertemu Xiao Die ditumbuk di muka dan badan sebelum ditolak jatuh ke jalan raya oleh lelaki berkenaan yang turut menjerit kepadanya bahawa dia ambil masa sehari semalam semata-mata mahu datang ‘mengajar’ wanita berkenaan.

Menurut laporan Zhengzhou Evening Post yang dipetik Daily Mail, Xiao Die membeli pakaian berharga 300 yuan (RM185) pada 20 Disember melalui laman beli belah Taobao yang dikendalikan Alibaba.

Bagaimanapun, barangannya tidak sampai selepas tiga hari menyebabkan wanita itu membuat aduan kepada agensi pemantau perniagaan elektronik.

Serangan pada 27 Disember lepas yang berlaku di tempat mengambil barangan dipesan wanita berkenaan di Zhengzhou itu, dirakam CCTV berdekatan.

Dalam laporannya kepada polis, Xiao Die percaya lelaki itu ialah Zhang, pemilik kedai dalam talian yang menghantar banyak pesanan teks mengugutnya termasuk ‘saya boleh musnahkan awak’.

Selain lebam dan calar balar pada muka dan badan, Xiao Die mengalami retak tulang siku.

6 Januari lalu, pihak polis telah menahan Zhang di Suzhou sebelum membawanya ke Zhengzhou untuk siasatan lanjut.

Menurut Taobao, bonus Zhang dipotong 12 mata berikutan aduan Xiao Die dan selepas kejadian serangan itu, akaun kedai Zhang dikeluarkan terus daripada senarai Taobao. –KLICK.MY

Tambah Komen

Klik di sini untuk komen

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.