Luar Negara

Peniaga Jual Ais Krim Harga RM117 Kepada Pelancong Didenda RM9,439

PADAN muka! Itulah perkataan yang sesuai untuk seorang peniaga ais krim di Florence, Itali apabila didenda sebanyak €2,000 9RM9.439) oleh pihak berkuasa kerana mengambil kesempatan terhadap pelancong asing dengan meletakkan harga yang tinggi.

Segalanya bermula apabila pelancong dari Taiwan itu berang dengan harga yang tidak masuk akal untuk satu kon ais krim berharga €25 (RM117).

Pelancong itu kemudiannya menghubungi pihak polis. Setelah disiasat, peniaga itu didapati bersalah kerana menyembunyikan harga sebenar di sebalik kaunter kedainya.

Sewaktu kejadian, pelancong Taiwan itu mengadu perihal harga ais krim terhadap peniaga tersebut.

Namun dia menjelaskan harga itu bertepatan dengan keenakan ais krim yang ditawarkannya.

Berang dengan perbuatan itu, pelancong berkenaan membuat panggilan polis dengan bantuan seorang pemandu pelancong.

Bandar Florence, Itali

Menurut anggota polis yang menguruskan kes itu, kes berkenaan sering berlaku.

“Menyembunyikan harga sebenar sudah biasa berlaku, tindakan ini memberi imej buruk terhadap pelancongan di negara ini.

“Sudah ramai yang jadi mangsa khususnya golongan pelancong asing,” ujar Elio Covino.

Untuk rekod, 14 juta pelancong berkunjung ke Florence pada tahun lalu.

Kebanjiran pelancong menyebabkan segelintir peniaga mengambil kesempatan untuk mendapatkan keuntungan mudah dengan menipu mereka. –KLICK.MY