Gaya Hidup

Pengusaha Restoran Bantah Larangan Merokok Dalam Premis Makanan

BERMULA 1 Januari tahun hadapan, kerajaan akan menguatkuasakan larangan merokok di semua restoran terbuka dan premis makanan.

Ini bermakna larangan itu juga melibatkan semua restoran dan warung-warung makanan tepi jalan yang sering menjadi pilihan rakyat Malaysia.

Larangan itu menerima sambutan positif di kalangan rakyat terutamanya golongan ibu-ibu dan golongan yang tidak merokok.

Namun, tidak semua menerima dengan hati terbuka dan positif.

Dilaporkan lebih 20,000 pengusaha restoran di bawah tiga persatuan, tidak menyokong arahan Kementerian Kesihatan mengenai peraturan larangan merokok tersebut.

Tiga persatuan itu adalah Persatuan Pemilik Kedai Kopi Malaysia-Singapura (MSCSPGA), Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) dan Persatuan Pengusaha Restoran India Malaysia (Primas).

Presiden MSCSPGA, Datuk Ho Su Mong berkata, larangan merokok di restoran atau premis makanan terbuka itu adalah tidak realistik dan tiada usaha oleh pihak berkuasa untuk menghentikan amalan merokok oleh perokok.

Beliau berkata, kerajaan tidak seharusnya mengenakan larangan merokok di restoran atau premis makanan terbuka melainkan ia memperkenalkan zon merokok atau kamar kecil untuk merokok seperti di negara maju iaitu di Jepun dan Singapura.

Sementara itu, Presiden Primas, T. Mutusamy berkata, mengharamkan merokok di restoran atau premis makanan akan menjejaskan pendapatan mereka kerana hampir 40 peratus pelanggan adalah perokok.

Beliau berkata, kerajaan harus mengambil kira kesan dan kebajikan pengusaha makanan apabila melaksanakan larangan merokok itu dan berharap kerajaan akan menimbang semula keputusannya untuk menguatkuasakan larangan merokok di semua premis makanan. –KLICK.MY

Sumber: Kosmo Online

Foto: MalaysiaKini