Gaya Hidup Sensasi Terkini

Pengulas Fesyen Akhirnya Mohon Maaf Atas Keterlanjuran Kata

SETELAH beberapa hari tular di media sosial mengenai kenyataan biadap pengulas fesyen, Zaihani Mohd Zain berkenaan individu gemuk, akhirnya dia tampil memohon maaf.

Sebelum ini, pengulas tersebut membuat kenyataan di Facebook yang menggores hati ramai pihak terutamanya individu yang mempunyai berat badan melebihi 60kg apabila “menasihati” mereka supaya tidak hadir ke petunjukan fesyen.

Berkaitan: Dikecam Kerana ‘Sound’ Orang Gemuk Datang Fashion Show

Menurutnya, dia tidak berniat langsung menyentuh sensitiviti mengenai berat badan sebaliknya merujuk kepada situasi yang dialami di sebuah pertunjukan fesyen ketika itu.

“Sekiranya status saya menyinggung perasaan mana-mana ahli keluarga, kawan-kawan dan pengikut, saya menyusun sepuluh jari memohon ampun dan maaf ‘from the bottom of my heart’.

“Bukan niat saya untuk menghina (body shame) sesiapa dan akui memang salah apabila menyebut mengenai berat badan itu. Status di FB saya tempoh hari adalah luahan hati mengenai situasi yang saya alami baru baru ini.

“Sepanjang kerjaya sebagai ketua penata gaya selama hampir tiga dekad, saya tidak akan dapat melaksanakan tanggungjawab jika saya bersikap suka jatuh hukum,” katanya.

Menceritakan kejadian itu, Zaihani berkata luahan itu sebenarnya berpunca daripada perbuatan ‘manspreading’ seorang tetamu.

“Pada hari kejadian, saya duduk di sebelah seorang tetamu lelaki yang tidak menghormati ruang tempat duduk saya. Kakinya terkangkang sehingga terlebih ke kerusi saya dan buat tidak tahu meskipun saya menunjukkan rasa tidak selesa.

“Baru saya tahu situasi sebegitu adalah isu ‘manspreading’ yang mana ia sebenarnya agak kurang ajar. Bagaimanapun sewaktu menulis kenyataan itu di Facebook, saya belum lagi tahu terma terbabit,” katanya.

Tambah Zaihani, kenyataan itu tidak berniat langsung memperlekeh mereka yang berbadan besar dan ditujukan khas buat sesetengah kelompok.

“Saya menulis angka 60 kilogram itu sebagai analogi kepada situasi itu. Manakan tidak, tetamu lelaki berkenaan yang duduk di sebelah sepertinya tidak hormat saya sebagai wanita dan biarkan saja kakinya berlaga dengan kaki saya.

“Tidak mungkinlah saya maksudkannya terang-terangan memandangkan saya sendiri ramai kawan yang berbadan besar. Jauh sekali mahu menghina fizikal orang lain,” katanya.

Mengenai kecaman kenapa dia sendiri hadir pertunjukan fesyen meskipun sudah berpangkat nenek, Zaihani berkata dia perlu menghormati setiap jemputan yang diterimanya.

“Apabila sudah mendapat jemputan, saya kenalah datang sebagai tanda sokongan kepada pereka fesyen berkenaan. Lagipun pada usia sebegini pun kecintaan saya terhadap fesyen masih mendalam,” jelasnya.

Ibarat kata pepatah, terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya. Apapun, dia sudah meminta maaf dan kita terimalah permintaan maafnya itu.

Semua orang pernah buat silap. Jadikanlah kesilapan itu sebagai pengajaran berguna. –KLICK.MY

Sumber: Harian Metro Online

Tambah Komen

Klik di sini untuk komen