Luar Negara

Penginapan Percuma Sekiranya Penyewa Sudi Tidur Bersama Tuan Rumah

TAWARAN tinggal secara percuma sekiranya rela tidur bersama tuan rumah   kelihatan seperti berseloroh atau tidak masuk akal.

Namun, itulah hakikatnya apabila dua orang pemilik rumah menawarkan tempat tinggal percuma dilengkapi perabot dan wi-fi jika penyewa sanggup ditiduri mereka.

Tawaran itu terbukti benar setelah seorang wartawan BBC melakukan penyamaran bagi melihat sejauh mana dakwaan mengenai tawaran tersebut.

Dipaparkan menerusi BBC Inside Out West, wartawan itu bekerjasama dengan Safe Lives untuk membongkar taktik kotor pemilik rumah sewa berkenaan.

Salah seorang daripada pemilik rumah sewa yang dikenali sebagai Mike memberitahu wartawan itu bahawa dia boleh mendapat apartmen dengan dua bilik tidur yang lengkap tanpa sebarang bayaran jika bersedia untuk memenuhi ‘hasrat’ yang dimahukannya.

“Bilik, sewa, bil, semua akan dibayar. Malah, saya akan beri elaun setiap minggu. Jadi kamu akan rasa seperti dijaga.

“Tapi syaratnya, kamu kena tidur dengan saya sekali seminggu,” ujarnya yang tidak menyedari sedang berurusan dengan wartawan yang melakukan penyamaran.

Namun, lain pula ceritanya selepas dia dibongkarkan menerusi program itu.

Ujar Mike, dia hanya berlakon sebagai pemilik rumah dan ia sebahagian daripada kajiannya mengenai eksploitasi wanita di United Kingdom.

Sebahagian iklan yang menawarkan sewa rumah percuma jika si penyewa sanggup ditiduri pemilik rumah.

Seorang lagi pemilik rumah yang dikenali sebagai Tom turut menawarkan kediaman percuma jika wartawan itu sanggup berpindah ke apartmen miliknya.

“Saya bagi seminggu dua jika kamu tak bersedia, tapi selepas itu memang kena tidur dengan saya,” ujar lelaki berusia dalam lingkungan 60-an itu.

Setelah dimaklumkan bahawa dia sedang dirakam untuk program BBC, Tom mula mengelak untuk memberi sebarang respon.

Penyamaran wartawan itu juga dilakukan susulan lambakan iklan sewa rumah jijik yang dimuat naik di Internet. –KLICK.MY

Tambah Komen

Klik di sini untuk komen

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.