Hiburan

Penerbit Terkenal, A.Aida Terkejut Dilamar Pelakon Muda

SEBELUM ini penerbit terkenal, Datuk A.Aida pernah digosipkan bercinta dengan anak kepada pelakon Normah Damanhuri, Ahya Rosli.

Namun hubungan itu senyap begitu sahaja tanpa sebarang perkembangan terbaharu.

Berkaitan: Jarak Usia Tidak Halang Ahya Rosli Rapat Dengan A. Aida

Kemudian bertebaran pula mengatakan Aida sedang hangat bercinta dengan pelakon muda bernama Wan Izme Ariff Abdul Aziz yang baru berusia 29 tahun.

Akhirnya malam kelmarin segala gosip yang bertebaran itu menemui penamatnya apabila Aida dilamar pemuda tersebut di sebuah restoran makanan Arab di ibu kota.

Memetik laporan Harian Metro Online, Aida mengakui agak terkejut dan tidak menyangka dia akan dilamar oleh Ariff.

Bercerita mengenai apa yang berlaku malam tadi, Aida yang berusia 48 tahun berkata Ariff menyerahkan sebentuk cincin Solitaire bertatahkan berlian sebagai simbolik sebelum mereka melangsungkan pernikahan.

“Saya tidak menjangka dia nak buat kejutan di tempat awam. Terharu dibuatnya dan hampir menitiskan air mata. Apatah lagi ramai pula yang tengok.

“Apa pun, saya menganggap ini kenangan paling indah dalam hidup. Insya-Allah, majlis nikah akan berlangsung tidak lama lagi dan majlis resepsi pula tahun depan iaitu sempena hari jadi saya pada 20 April,” katanya.

Lebih istimewa, pada sesi lamaran itu Ariff yang juga pelakon drama Isteri Untuk Diiktiraf turut membuat kejutan dengan menampilkan rakan baiknya, Faizal sambil bermain gitar untuk menyanyikan lagu Surat Cinta Untuk Starla.

“Walaupun dia masih muda, tapi dia matang. Saya menyukai keperibadian dimiliki. Apa yang penting juga, dia bujang dan bukan hak orang.

“Ariff akan menguruskan majlis nikah kami. Jadi, doakan yang baik-baik dan segala urusan dipermudahkan,” kata Aida.

Semoga hubungan mereka kekal hingga ke jenjang pelamin. Usia hanya sekadar angka. Tak gitu! –KLICK.MY

Tambah Komen

Klik di sini untuk komen

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.