Viral

Pencuri Serah Diri, Sedar Gambarnya Tular Di Media Sosial

SEMALAM tersebarnya  gambar dan video menunjukkan seorang lelaki mencuri wang tabung di Masjid Penjom, Kuala Lipis, Pahang.

Video berkenaan menjadi tular di media sosial sehingga pencuri tersebut bertindak memulangkan semula hasil curian kepada pengadu yang juga imam masjid berkenaan.

Gambar wajah suspek dan video berdurasi 1 minit 56 saat itu yang memperlihatkan suspek memecah tabung masjid dengan menggunakan tukul berjaya dirakam kamera litar tertutup (CCTV).

Dalam kejadian kira-kira jam 11.38 pagi Selasa lalu, CCTV masjid berkenaan berjaya merakam tindakan suspek berusia 47 tahun dan beralamat di Shah Alam, Selangor yang mengopak tabung sebelum membungkus wang yang dicuri dengan menggunakan sejadah.

Pihak pengurusan masjid kemudiannya membuat laporan polis di Balai Polis Penjom.

Ketua Polis daerah, Superintendan Azry Akmar Ayob berkata, bertindak daripada maklumat yang diterima daripada pengadu, pada hari Rabu kira-kira jam 4 petang sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lipis di ketuai oleh Inspektor Razali Ismail dan Ketua Polis Balai Penjom telah menahan suspek di hadapan Balai Polis Penjom.

“Kita juga merampas wang tunai berjumlah lebih kurang RM446 yang diserahkan oleh pengadu yang merupakan Imam Masjid Penjom.

“Suspek datang berjumpa pengadu dan menyerahkan sejumlah wang tersebut yang dikatakan dicuri dari tabung masjid berkenaan kerana takut setelah mendapati gambarnya tular,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian Online.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda.

Tambahnya, suspek turut didapati memiliki enam rekod lampau bersangkutan dengan kesalahan di bawah Seksyen 454 kanun keseksaan kerana pecah rumah dan curi dan Seksyen 379 kanun keseksaan kerana mencuri. –KLICK.MY

 

Tambah Komen

Klik di sini untuk komen

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.