Luar Negara

Pemuda OKU Dilarang Masuk Masjid Untuk Solat Cetus Kemarahan Netizen

SEORANG pemuda Orang Kelainan Upaya (OKU) yang berkerusi roda meluahkan perasaan kecewanya di Instagram apabila dilarang masuk ke dalam masjid untuk menunaikan solat.

Menurut pemuda tersebut, Abraham Ismed, dia diarahkan untuk bersolat di luar Masjid Besar Sumatra Barat di Padang, Sumatera Barat, kerana kerusi rodanya dianggap tidak bersih.

Kisahnya itu mula medapat perhatian dan mencetuskan kemarahan di media sosial.

“Adakah saya perlu merangkak masuk ke dalam masjid untuk bersolat? Kerusi roda ibarat kaki untuk OKU seperti saya,” tulis Abraham yang turut mengakui ia bukan kali pertama dia didiskriminasi kerana berkerusi roda.

Sementara itu, portal Coveasia memetik Abraham berkata, kejadian berlaku ketika dia mahu menunaikan Asar di dalam masjid sebelum dihampiri pegawai keselamatan, menyebabkan dia akhirnya solat di tempat wudhu.

Namun lain pula kisahnya tatkala mendengar penjelasan daripada seorang pekerja masjid yang menafikan Abraham dihalang solat di dalam masjid.

Menurut pekerja terbabit, pegawai keselamatan membantu Abraham masuk ke dalam masjid tanpa perlu berkerusi roda, tetapi ditolak.

“Memasuki masjid dengan berkerusi roda adalah sama seperti memakai kasut ketika bersolat. Kita tidak tahu sejauh mana kebersihan kerusi roda itu, ” katanya seperti dilaporkan portal Liputan 6.

Sementara itu Timbalan Gabenor Sumatera Barat, Nasrul Abit turut dilaporkan kecewa dengan kejadian berkenaan.

“Setiap orang Islam termasuklah golongan cacat, dibenarkan memasuki masjid besar.

“Perkara ini sudah dimaklumkan kepada Gabenor Irwan Prayitno dan mengarahkan pegawainya untuk bercakap dengan pihak berkuasa masjid,” kata Nasrul. –KLICK.MY

Sumber: Harian Metro Online

Tambah Komen

Klik di sini untuk komen

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.