Jenayah Terkini Viral

Agen Perisik Warga Eropah Suspek Kes Bunuh Pensyarah

DUA suspek yang menembak mati seorang pensyarah warga Palestin di Setapak, Kuala Lumpur awal pagi semalam dipercayai mempunyai kaitan dengan organisasi perisikan sebuah negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan bekerjasama dengan Interpol (Polis Antarabangsa) dan Aseanapol (Polis Asean) bagi menjejaki dua lelaki itu, yang dipercayai warga Eropah, dengan kadar segera.

“Polis akan melakukan siasatan dari semua sudut biar pun mangsa dan suspek merupakan warga asing. Kita berasa turut bertanggungjawab (menyiasat suspek) sehingga tertangkap. Kita akan maklumkan perkembangan kes ini dari semasa ke semasa,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Bangunan GiatMara yang baharu di Hutan Melintang, Perak semalam.

Ahmad Zahid diminta mengulas kes pembunuhan membabitkan mangsa berusia 35 tahun, yang ditembak ketika dalam perjalanan ke surau berdekatan kondominium tempat tinggalnya untuk menunaikan solat Subuh kira-kira 6 pagi.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, suspek melepaskan lebih 10 das tembakan dan pemeriksaan awal mendapati terdapat empat kesan tembakan di kepala dan badan mangsa, yang meninggal dunia di tempat kejadian.

Mazlan berkata, mangsa bekerja sebagai pensyarah di sebuah universiti swasta di ibu negara dan merupakan imam kedua di masjid berhampiran tempat tinggalnya.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, hasil siasatan awal mendapati mangsa sepatutnya berlepas ke Turki tengah hari Sabtu bagi menghadiri sebuah persidangan antarabangsa.

Beliau berkata, mangsa yang merupakan pakar dalam bidang kejuruteraan elektrik dan pembuatan roket, dipercayai mempunyai kaitan dengan sebuah agensi perisikan dari negara luar dan aktif dalam sebuah badan bukan kerajaan (NGO) Islam yang memperjuangkan isu Palestin.

Mangsa yang merupakan pemastautin tetap di negara ini dipercayai menjadi liabiliti sebuah negara yang bermusuhan dengan Palestin. –KLICK.MY

Tambah Komen

Klik di sini untuk komen

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.