Selebriti

Pembaca Berita, Izwan Azir Letak Jawatan Selepas 16 Tahun Berkhidmat

BOLEH dikatakan dia antara pembaca berita masa kini yang paling berkarisma. Gaya dan mimik mukanya ketika membaca berita begitu selari dengan isi berita yang dibaca. Itulah dia, Izwar Azir Saleh.

Malah dek kerana penghayatannya yang tinggi ketika membaca berita terutamanya berkaitan politik, dia pernah menjadi mangsa kecaman netizen ketika era pemerintahan kerajaan lama.

Berkaitan: Pembaca Buletin Utama TV3, Izwan Azir Luahkan Perasaan Dicaci

Namun, malam tadi sesiapa yang menonton berita Buletin Utama di TV3 pasti tahu bahawa pembaca berita berkaliber ini telah meletak jawatan.

Pengumuman perletakan jawatannya disiarkan secara langsung selepas selesai menyampaikan berita terakhirnya di Buletin Utama.

16 tahun berkhidmat dengan Media Prima, ternyata ia satu tempoh yang cukup lama. Pelbagai pengalaman yang beliau sudah lalui.

Rata-rata netizen dan rakan-rakah setugas sedih dengan keputusannya itu. Namun tetap memberi sokongan kepadanya.

Difahamkan, Izwan telah pun menerima tawaran untuk menjadi setiausaha akhbar kepada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Darell Leiking.

Menerusi Instagramnya, Izwan menjelaskan perletakan jawatannya.

“2 Julai 2018. Yang bermula, pasti akan berakhir. Setelah 16 tahun, malam ini saya menutup kemas perjalanan panjang di TV3 untuk menerokai dunia yang luas di luar sana.

“Sri Pentas yang saya sudah anggap sebagai ‘rumah kedua’ kini saya tinggalkan dengan 1001 kenangan penuh suka duka. Saya tidak membawa apapun dari sana kecuali rasa puas hati kerana telah berpeluang merasai setiap sudut dalam dunia penyiaran selama tempoh itu.

“Dan saya bawa pulang hubungan persaudaraan dan persahabatan dengan semua warga TV3, Media Prima dan itu akan kekal untuk selama-lamanya. Terima kasih kepada anda yang telah menonton saya sejak 2002.

“Terlalu banyak nama jika saya harus mengucapkan penghargaan satu persatu tetapi tanpa sokongan semua, siapalah saya. Saya percaya apabila kita menutup satu pintu dengan baik, Allah akan buka seribu lagi pintu buat kita. Terima kasih Malaysia, saya Izwan Azir Saleh, sehingga dilain ketika, Assalamualaikum dan selamat malam,” tulisnya.

Semoga kejayaan terus menjadi milik Izwan biar apa jua bidang yang diceburi sekalipun. –KLICK.MY