Hiburan Terkini

Pelawak Terkenal, Syaiful Apek Dilantik Sebagai Ikon Zakat Perniagaan

PELAWAK terkenal, Syaiful Apek dilantik sebagai ikon untuk menggerakkan Kempen Sokong Peniaga Pembayar Zakat Perniagaan (SPPZ) 2018 anjuran Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) dengan kerjasama PPIM.

Kempen tersebut bertujuan menggalakkan lebih ramai peniaga dan pemilik syarikat membayar zakat.

Menurutnya , peluang tersebut memang dinanti-nantikan oleh anak seni sepertinya. Dia akan gunakan sebaik mungkin peluang berkenaan kerana dalam industri seni sendiri, pelbagai isu perlu diberi perhatian termasuk soal kebajikan artis.

“Ruang yang ada ini memang ditunggu-tunggu penggiat seni. Saya akan gunakan peluang sebagai ikon Gerakan Tunai Zakat bersama Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) untuk menggalakkan ramai orang membayar zakat dan ini juga kerja yang baik.

“Semua ini untuk manfaat kita bersama. Kena angkat perkara ini supaya diketahui masyarakat. Satu permulaan yang baik untuk kita suburkan amalan membayar zakat. Terima kasih kerana memberi peluang kepada saya,” katanya.

Katanya lagi, hasil perbincangan dan taklimat bersama Ketua Aktivis PPIM Datuk Nadzim Johan hari ini, dia yakin usaha itu mendapat sambutan apatah lagi, isu pembayaran zakat perlu diberi keutamaan termasuk mereka yang berada dalam industri seni.

“Saya faham konsep dan dasarnya, apatah lagi disokong PPIM sendiri yang kita tahu gerak kerjanya terbukti dalam membantu pengguna di negara ini. Ini bukan saja soal pengguna atau pun produk, ia merangkumi kebajikan artis, kerana kita juga perlukannya.

“Dalam industri ini bermacam kes berlaku tetapi saya rasa soal bayar zakat ini seperti terlepas pandang. Jadi saya akan cuba buat yang terbaik menggunakan platform baru ini,” ujarnya.

Pada pertemuan itu, Syaiful Apek atau nama sebenarnya Mohd Saiful Azam Mohamed Yusof, mendengar taklimat mengenai kempen berkenaan yang dijalankan selama tiga bulan, berakhir pertengahan Mei depan. –KLICK.MY

Sumber: HM Metro

Tambah Komen

Klik di sini untuk komen