Hiburan

Pelakon Zaibo Masuk Hospital, Hidap Kanser Esofagus

PERKHABARAN tentang kesihatan pelakon veteran, Zaibo atau nama sebenarnya Zainal Ariffin Abd Hamid, 62 benar-benar mengejutkan orang ramai.

Dia yang kini menetap di Batu Pahat, Johor, dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh kerana menghidap kanser esofagus (esophageal cancer).

Lapor Harian Metro Online, Zaibo hanya mempunyai masalah darah tinggi dan kolestrol sebelum ini.

“Tak sangka tiba-tiba doktor mengesahkan saya kini menghidap penyakit kanser esofagus dan perlu menerima rawatan di Sungai Buloh.

“Saya sebenarnya menetap di Batu Pahat, Johor. Kemasukan ke Hospital Sungai Buloh pun atas keputusan Hospital Batu Pahat yang merujuk kes penyakit saya ke sini.

“Terus terang saya sebenarnya terkejut dan enggan hebohkan kisah sakit ini kepada masyarakat. Itulah sebabnya saya lari daripada orang kerana tak nak ada komen-komen negatif yang dilemparkan terutama di laman sosial.

“Ia boleh membuatkan bukan saya sahaja tapi keluarga juga akan turut tertekan,” kayanya.

Bercerita lebih lanjut mengenai penyakitnya itu, kata pelakon siri Spanar Jaya ini, simptom penyakit dialami membuatkan dia tersedak dan muntah setiap kali makan dan kini hanya mengambil makanan dalam bentuk cecair.

“Saya memang tiada tanda-tanda sakit dan hanya bermula dua minggu selepas Hari Raya Aidilfitri lalu. Makanan sesuai buat saya sekarang ialah susu khas yang membekalkan zat kepada badan,” katanya lagi.

Sudah lebih dua tahun tidak berlakon, Zaibo memohon agar semua pihak terutamanya rakan serta sahabat handai yang mengenali dapat mendoakan kesembuhan serta urusannya dipermudahkan. –KLICK.MY

Tag