Hiburan Terkini

Pelakon Azmil Mustapha Meninggal Dunia Kerana Sakit Jantung

PELAKON era 1980-an, Hj Mohd Azmil Mustapha Kamil meninggal dunia akibat sakit jantung di kediaman keluarganya di Shah Alam, kira-kira jam 12.40 tengah hari tadi.

Menerusi pesanan mesej aplikasi Whatsapp, jenazah Allahyarham dikatakan akan dibawa ke Masjid Sultan Salahudin Abdul Aziz Shah Alam (Masjid Biru) untuk urusan solat jenazah sebelum dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, Shah Alam.

Bintang filem Mekanik itu menghembuskan nafas pada usia 65 tahun.

Allahyarham meninggalkan dua bekas isteri dan lima anak.

Berita pemergian Azmil dikongsi anak lelaki tunggalnya, Mohd Bazli kepada BH Online, sebentar tadi.

“Kami akur dengan ketentuan ini. Pahit untuk ditelan tapi Allah lebih menyayangi bapa kami.

“Setakat ini, saya tidak dapat pastikan dengan tepat bila arwah bapa akan dikebumikan,” katanya.

Ketika hayatnya, Azmil pernah dua kali mendirikan rumah tangga.

Dalam perkahwinan pertama, Azmil dikurniakan anak perempuan, Shamira. Azmil juga memiliki empat anak iaitu Nurazalea Arifah, Nor Amalia Batrisya, Mohd Bazli Zhafri dan Nur Alia dalam perkahwinan keduanya.

Sejak dua tahun lalu, keadaan kesihatan Azmil yang banyak membintangi filem box office era 1980-an seperti Ali Setan, merosot dan pernah dilaporkan kritikal. –KLICK.MY

Tambah Komen

Klik di sini untuk komen