Terkini

Pelajar, Guru Terkejut Gajah Ceroboh Kantin Asrama Sekolah

SELEPAS kejadian Balai Polis Telupid, Sabah ‘diserang’ sekumpulan gajah seperti dilaporkan oleh NSTP, haiwan liar tersebut dilihat beralih ke tempat lain pula.

Dalam kejadian kira-kira 9 pagi kelmarin, sebanyak 10 gajah masuk ke dalam kawasan balai selepas merosakkan pagar.

Manakala kira-kira jam enam pagi tadi, pelajar dan guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Telupid, gempar apabila dikejutkan dengan kehadiran seekor gajah yang masuk ke dalam kantin asrama.

Dalam laporan disiarkan Harian Metro, Ketua Polis Daerah Beluran Superintendan V Shivananthan berkata, tiada individu yang cedera susulan kejadian itu dan anggota polis turut dihantar ke lokasi untuk membuat pemantauan serta membantu pihak sekolah.

“Berdasarkan laporan kejadian gajah masuk ke kawasan asrama itu sudah beberapa kali,” katanya ketika dihubungi.

Pengarah Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah, Augustine Tuuga berkata, setakat ini lima gajah termasuk seekor anak gajah sudah ditangkap dengan satu daripadanya iaitu gajah betina sudah dipindahkan ke Hutan Simpan Imbak, Isnin lalu.

Dua daripada lima gajah Pygmy Borneo yang ditangkap selepas menceroboh beberapa perkampungan di sini sejak lebih sebulan lalu juga sudah dipasang kolar satelit.

Dua gajah masing-masing betina dan jantan itu adalah daripada lebih 20 gajah yang dikesan berkeliaran di sekitar enam lokasi di sini, sejak Januari lalu. –KLICK.MY

Tag

Tambah Komen

Klik di sini untuk komen