Jenayah

Pegawai Menteri KDN Dipecat Serta-Merta, Kantoi Rakam Bawah Skirt

JIJIK dan terkutuk! Begitulah perkataan yang boleh dilemparkan kepada seorang pegawai kepada Timbalan Menteri Dalam Negeri (KDN) yang video perbuatan kejinya viral di media sosial semalam.

Menurut laporan media, kejadian itu berlaku pada 8 September di sebuah kedai cermin mata di Solaris Dutamas, Kuala Lumpur.

Dalam video tersebut kelihatan lelaki yang mengiringi Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman merakam video bawah skirt kakitangan premis tersebut yang sedang memeriksa mata Azis Jamman.

Berdasarkan laporan polis yang dibuat mangsa, Azis bersama pegawainya datang ke premis itu pada jam 11 pagi untuk membuat pemeriksaan mata.

“Saya memandang serius tindakan individu tersebut yang membuat rakaman sedemikian secara sembunyi dan senyap-senyap tanpa saya sedari ketika pemeriksaan mata dijalankan.

“Tindakan dan perbuatan sedemikian adalah terkutuk dan keji. Saya juga mengambil keputusan untuk bertindak tegas terhadap pegawai tersebut yang membuat rakaman itu.

“Selepas membuat pertimbangan, keputusan untuk memecat pegawai tersebut dibuat serta-merta kerana tindakan tersebut  menjejaskan imej dan kredibiliti saya selaku timbalan menteri dalam negeri dan pejabat timbalan menteri,” katanya menerusi kenyataan media di halaman Facebooknya, Ahad malam.

Mohd Azis yang juga Ahli Parlimen Sepanggar berkata, beliau memohon maaf di atas tindakan pegawai tersebut tetapi menegaskan perbuatan keji itu tidak mencerminkan pegawai-pegawai lain di pejabatnya.

“Saya memohon maaf atas tindakan pegawai tersebut dan ia tidak ada kena mengena dengan pegawai-pegawai lain dalam pejabat timbalan menteri yang sedang bertugas dengan saya,” katanya. –KLICK.MY

Sumber: mStar Online.

Tambah Komen

Klik di sini untuk komen

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.