Gaya Hidup

Pasangan Lesbian Menitik Air Mata Selepas Dirotan Di Khalayak Ramai

PASANGAN lesbian dihukum sebat enam kali semalam kerana cuba melakukan hubungan seks di dalam sebuah kereta di Dataran Arena Squre, Dungun, pukul 1.50 tengah hari pada 8 April lalu.

Selain itu kedua-duanya turut didenda RM3,300 atau empat bulan penjara, jika gagal menjelaskan denda.

Kisah mereka dirotan di khalayak ramai menjadi tular di media sosial.

Hukuman itu yang dijalankan di bilik mahkamah Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu adalah yang pertama kali berlaku di negara ini membabitkan kesalahan seumpamanya dan disaksikan oleh lebih 100 orang termasuk pengamal media, keluarga dan peguam syarie.

Namun apabila hukuman telah dijalankan, barulah mereka yang hadir sedar bahawa benarlah kata-kata Hakim Syarie Kamalruazmi Ismail ketika di awal prosiding bahawa hukuman itu adalah berbentuk pengajaran dan bukannya untuk mencederakan.

Tiada sebarang perkara tidak diingini berlaku, malah ketika rotan hinggap di tubuh badan tertuduh, tiada jeritan kedengaran kerana pegawai penjara itu masih perlu mengikut peraturan yang ditetapkan iaitu menggunakan kekuatan sederhana tanpa mengangkat tangan melebihi kepala tertuduh.

Tertuduh pertama berusia 32 tahun itu dilihat mengalirkan air mata selepas hukuman rotan enam kali itu selesai tetapi tertuduh kedua (22 tahun) sebak seketika apabila menerima sebatan ketiga dan terpaksa dihentikan seketika sebelum menyambung tiga sebatan seterusnya.

Semoga hukuman ini dapat dijadikan pengajaran buat semua. Bukan sahaja untuk golongan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) tetapi juga golongan yang melanggar undang-undang Islam. –KLICK.MY

Sumber: mStar Online

Tambah Komen

Klik di sini untuk komen

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.