Gaya Hidup Terkini

‘Panama Dance’ Haram, Campur Lelaki Perempuan-Mufti

KALAU ditanya apakah tarian yang sedang popular masa kini, pasti jawapannya adalah ‘panama dance’ atau Tarian Panama.

Pelbagai versi tarian dilakukan oleh masyarakat khususnya di Malaysia daripada kakitangan kerajaan hinggalah swasta. Semuanya tidak mahu mengalah mempamerkan kehebatan mereka melakukna tarian tersebut.

Namun, sedar atau tidak, tarian tersebut sebenarnya haram dilakukan kerana membabitkan percampuran lelaki dan perempuan bukan mahram.

Ini diakui sendiri oleh Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd. Yusof Ahmad. Katanya lagi, tindakan berkongsi persembahan itu menerusi video di media sosial juga haram kerana menunjukkan susuk tubuh wanita yang sepatutnya hanya boleh dilihat oleh mahram mereka.

“Mungkin ada sesetengah itu hendak menggunakannya sebagai rujukan melakukan senam robik di dalam bilik mereka, bagaimanapun masih tidak menghalalkan kita untuk menyebarkan secara terbuka wanita menutup aurat berjoget sebegitu.

“Mereka yang hendak buat tarian itu janganlah dirakam, dimuat naik dan jangan dikongsi ke media sosial. Jangan biarkan bukan mahram melihat susuk tubuh anda berlenggang-lenggok sedemikian rupa.

“Jaga maruah dan jaga aib anda sebagai seorang muslimah,” katanya kepada Utusan Online bagi mengulas isu Tarian Panama yang tular di laman sosial ketika ini.

Sementara itu, Mufti Pahang, Datuk Seri Abdul Rahman Osman menasihati orang ramai tidak mengajak dan terikut-ikut dengan trend tarian itu.

Katanya, orang ramai jangan bersikap terlalu liberal dalam sesuatu perkara dan hendaklah sentiasa mengikut sunnah Rasulullah SAW.

“Kita lihat mereka yang muat naik video itu, kapsyen mereka pastinya seperti mengajak mereka membuat tarian sama iaitu bercampur lelaki dan perempuan.

“Kalau kita buat benda haram, jangan mengajak orang lain buat benda yang sama. Biarlah buat trend yang sama-sama dapat pahala, Islam itu mudah tetapi jangan bermudah-mudahkan,” katanya.

Semoga penjelasan ini dapat dijadikan pengajaran dan teladan buat kita semua. –KLICK.MY

Tambah Komen

Klik di sini untuk komen

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.