Gaya Hidup

Pakej Umrah Percuma PU Amin Berjaya Tarik Minat LGBT

“ALHAMDULILLAH”, itu reaksi Pencetus Ummah (PU) Amin apabila pakej umrah percuma untuk golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang diwar-warkan dalam Instagramnya berjaya menarik golongan tersebut.

Sebelum ini, PU Amin terkenal dengan kelantangannya menegur golongan LGBT.

Namun nadanya sedikit berbeza kali ini dan tampil menawarkan pakej umrah secara percuma termasuk penerbangan dan penginapan, kepada 20 individu LGBT.

“InsyaAllah, saya akan taja 20 pakej umrah percuma kepada geng LGBT. Saya mohon semua LGBT yang betul-betul tak mampu dan nak sangat pergi umrah DM (mesej secara terus) saya,” katanya di laman sosial Instagramnya sebelum ia kemudian dipadamkan.

Lapor mStar Online, PU Amin atau nama sebenarnya Mohamad Amirul Amin Maula Lokman Hakim berkata, ia merupakan program yang dirancang sejak sebulan lalu, kesinambungan kepada pakej umrah yang ditawarkan secara percuma oleh sebuah syarikat pengendali umrah kepada golongan fakir miskin, mualaf dan gelandangan.

Jelas PU Amin lagi, ia sedikit-sebanyak mengubah tanggapan negatif terhadap beliau berikutan tegurannya terhadap LGBT yang dikatakan terlalu keras dan keterlaluan.

Hanya beberapa jam tawaran dibuat menerusi laman sosial Instagramnya, PU Amin berkata, lebih 200 individu dengan kebanyakannya adalah lesbian menyuarakan hasrat untuk menyertai program umrah itu.

Pihaknya akan melakukan saringan terhadap golongan yang berminat dan memilih mereka yang benar-benar berkelayakan.

Jelasnya, mereka yang terpilih diwajibkan untuk mengikuti kelas fardhu ain dan akidah serta kelas bimbingan Al-Quran, yang dikendalikan oleh beliau sendiri.

Tambah PU Amin, rombongan pertama ke Tanah Suci akan bermula Disember ini, dan kesemua mereka akan dibahagikan secara berkumpulan.

“Seramai 20 individu LGBT akan dibahagikan untuk menyertai beberapa kumpulan bakal jemaah yang terdiri daripada gelandangan, fakir miskin dan mualaf.

“Walaupun usaha untuk membawa mereka berhijrah diketahui umum, tetapi kita akan buat secara tertutup, tidak mendedahkan identiti mereka. Kita hanya berkongsi momen mereka di sana dengan orang ramai bahawa ini adalah usaha kita untuk membimbing golongan LGBT,” katanya.

Semoga usaha murni PU Amin diberkati Allah SWT dan diharapkan selepas ini lebih banyak program seperti ini diadakan bagi membantu golongan LGBT kembali kepada fitrah. –KLICK.MY

Tag