Luar Negara

Padah Jual Buah Pinggang Untuk Beli iPhone, Kesihatan Makin Merosot

GARA-GARA terlaku ghairah untuk memiliki peranti iPhone dan iPad, seorang lelaki sanggup menjual buah pinggangnya kepada sindiket jualan organ di China.

Kini lelaki tersebut menyesal kerana kesihatannya semakin merosot. Malah, dia terlantar di wad sebuah hospital kerana lumpuh.

Lelaki yang dikenali sebagai Wang, 25, itu menjual buah pinggang kanannya kira-kira tujuh tahun lalu dan menerima bayaran 22,000 yuan (RM13,300). Pembeli organ membayar 160,000 yuan (RM96,500) kepada sindiket itu.

Dua pakar bedah, seorang pembantu pembedahan dan jururawat melakukan pembedahan itu di sebuah klinik haram di bandar Chenzhou, wilayah Hunan selepas Wang menyelinap keluar dari rumah keluarganya di wilayah Anhui pada 2011.

Wang sempat membeli sebuah iPhone 4 dan iPad 2 sebelum pulang ke rumah tetapi kesihatannya merosot hingga menyebabkan dia terlantar selain memerlukan penjagaan sepenuh masa.

Mahkamah di sini menjatuhkan hukuman penjara antara tiga ke lima tahun ke atas anggota sindiket dan doktor terbabit pada bulan April 2012 sementara keluarga Wang menerima pampasan 1.47 juta yuan (RM890,000). –KLICK.MY