Jenayah

Padah Hina Polis Maut Kemalangan, Seorang Buruh Ditahan

BERFIKIR dulu sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan di media sosial terutamanya yang berunsur penghinaan.

Bak kata pepatah, kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa. Begitulah yang terjadi kepada seorang buruh yang memuat naik komen negatif dan menghina anggota polis yang maut dalam kemalangan  di Kilometer 183 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) di Gambang, Kuantan semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, suspek berusia 27 tahun ditahan di sebuah rumah di Kampung Parit Tengah, Pekan kira-kira jam 10.30 malam tadi.

Menurutnya, suspek adalah pemilik akaun Facebook ‘Mohd Hannan’ meninggalkan komen negatif ke atas satu status berkenaan  kemalangan maut membabitkan dua anggota polis yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di dalam kumpulan ‘Komuniti Kuantan’.

“Disebabkan komen negatif terbabit, satu laporan dibuat oleh seorang anggota polis yang mahu tindakan sewajarnya diambil ke atas pemilik akaun Facebook itu,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Jelasnya, sepasukan anggota polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan pergi ke rumah berkenaan dan berjaya menahan suspek yang terbabit berdasarkan maklumat.

Mohd Wazir memaklumkan, pihaknya telah menjalankan pemeriksaan dan merampas sebuah telefon bimbit jenis Samsung Galaxy J2 Prime dan dua kad sim Celcom.

“Siasatan mendapati, telefon bimbit yang dirampas itu positif digunakan untuk akaun Facebook berkaitan.

“Ujian air kencing juga sudah dijalankan ke atas suspek dan hasilnya negatif. Suspek kini ditahan reman bermula hari ini di  Lokap Berpusat Indera Mahkota di sini,” katanya.

Kes disiasat mengikut bawah Seksyen 233 (1)  Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya sekali. –KLICK.MY

Sumber: Sinar Harian Online

Tambah Komen

Klik di sini untuk komen

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.