Gaya Hidup Selebriti Terkini

Pada Usia 60 Tahun, Amy Search Bakal Tawan Gunung Annapurna

TIADA apa yang lebih membanggakan apabila di usia 60 tahun, kudrat masih gagah untuk mendaki gunung.

Itulah yang dibuktikan oleh penyanyi terkenal, Amy Search.

Beliau membuatkan peminat berasa kagum apabila berjaya ke Kem Pangkalan Annapurna (ABC), Nepal yang berketinggian 4,130 meter dari aras laut pada Sabtu.

Menerusi perkongsian di Instagram, Amy memuat naik gambar bersama isteri, Norhasniza Hassan atau Nourish yang lengkap berbaju kurung berwarna hijau bagi meraikan kejayaan itu.

Beberapa hari lalu, Amy memuat naik video di laman sosial memaklumkan mereka sudah berada di Jhinu Nanda sebelum mendaki ke Chomprong.

Penyanyi lagu Isabela itu turut meminta peminat mendoakan keselamatannya dan isteri agar selamat tiba ke Gunung Annapurna.

 “Alhamdulillah, kita sudah sampai di Jhinu Nanda. Insya-Allah, esok kita akan mendaki tangga beribu-ribu di Chomprong. Doakan yang terbaik,” katanya.

Sementara itu, pengikut Amy di Instagram meluahkan rasa kagum dan bangga dengan penyanyi itu yang mampu mendaki gunung berkenaan pada usianya sekarang.

Malah ramai menjadikan Amy sebagai inspirasi untuk berbuat perkara sama selain mencapai impian yang sebelum ini disangka tidak mampu dilaksanakan.

Sebelum ini anak Amy, aktres Nabila Huda turut berjaya menawan ABC dalam ekspedisi pada Oktober tahun lalu. –KLICK.MY

Sumber: mStar Online