Viral

“Orang Kampung Panggil Dia Aishah London”-Bapa Pelajar Petah Inggeris

PEMBUKAAN sesi persekolahan 2019 seperti biasa memperlihatkan pelbagai ragam anak-anak yang baru memasuki alam tersebut.

Namun, ada seorang pelajar baharu yang menarik perhatian netizen apabila kepetahannya berbahasa Inggeris walaupun baru berusia tujuh tahun benar-benar mengagumkan.

Video kanak-kanak tersebut, Hana Aishah Mustafa Kamal, 7, yang lancar berbahasa Inggeris sewaktu ditemu bual sebuah saluran televisyen tempatan menjadi bualan hangat.

Menurut bapa kanak-kanak tersebut, Mustafa Kamal Mohd Taib dia sendiri hairan dengan kebolehan Aishah yang mula bertutur dalam bahasa itu sejak kecil lagi.

“Dia boleh berbahasa Inggeris sejak umur tiga tahun, masa umur dua tahun masih pelat lagi. Tapi perkataan pertama dia dulu pun dalam bahasa Inggeris.

“Saya pun rasa pelik, dia memang gifted. Aishah ni suka tengok rancangan bahasa Inggeris. Dia belajar sendiri sahaja sampai orang kampung pun panggil dia Aishah London.

“Kalau naik kapal terbang atau jumpa pelancong asing, dia tarik tangan saya nak pergi tegur dan bersembang,” katanya seperti dilaporkan mStar Online.

Mengulas mengenai video tular anaknya, Mustafa berkata dia bersyukur dan gembira dengan reaksi orang ramai yang rata-ratanya meluahkan rasa kagum terhadap kebolehan Aishah.

Malah, video murid tahun satu Sekolah Rendah Kebangsaan Kedawang, Langkawi, Kedah itu turut menerima ratusan ribu tontonan menerusi laman Facebook, Twitter dan Instagram.

“Bapa mana yang tak suka. Saya bersyukur sangat. Semoga ia menjadi contoh kepada anak-anak lain.

“Penguasaan bahasa Inggeris sangat penting, bila kita kuasai bahasa asing, lebih banyak ilmu kita boleh dapat,” jelasnya lagi.

Tambahnya, Aishah juga pernah menyuarakan hasratnya untuk menjadi seorang doktor atau pereka fesyen apabila dewasa kelak. –KLICK.MY

Tambah Komen

Klik di sini untuk komen

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.