Hiburan Terkini

Norshila Amin Angkat Sumpah Laknat Sangkal Fitnah Terhadapnya

PETANG semalam penyanyi 80-an Norshila Amin tampil menjelaskan mengenai fitnah yang dilemparkan kepadanya dalam satu sidang akhbar khas.

Sebelum ini, dia dikatakan bergaduh dengan pelakon Lana Nordin di sebuah acara di Singapura.

Berkaitan: Lana Nordin, Norshila Amin Bergaduh Di Bazaar Selebriti Singapura

Dalam sidang akhbar tersebut, Norshila mengangkat sumpah laknat sebanyak lima kali bagi menyangkal fitnah berhubung dakwaan dia menipu wang milik lapan selebriti yang terlibat dalam sebuah festival di Brunei pada April lalu.

Tegasnya lagi, sumpah laknat itu turut dibuat bagi menafikan dakwaan Lana yang didakwa antara pihak yang menyebarkan fitnah itu sehingga mendatangkan malu kepada penyanyi itu dan keluarganya.

Anak perempuan yang juga pembantu Norshila iaitu Nurrul Admiena Norrizan, 33, turut mengangkat sumpah sama bagi membersihkan namanya daripada fitnah itu.

“Bersaksikan Al-Quran, saya dan anak-anak mengangkat sumpah laknat bagi membersihkan nama kami yang telah difitnah.

“Apa yang saya lakukan ini semata-mata kerana Allah dan sekiranya tidak benar apa kami katakan, kami reda dengan kemungkaran Allah,” katanya.

Selain itu, dakwaan dia ‘mengheret’ pengacara Roslan Shah ke dalam isu pergaduhannya dengan Lana sehingga jadi semakin besar juga tidak benar.

Malah, dia terkejut apabila pengacara Roslan Shah tiba-tiba campur tangan dalam isu pergaduhannya dengan Lana menerusi beberapa siri siaran langsung di Facebook.

“Saya akui wujud pertengkaran dengan Lana tetapi semasa kami bergaduh baik saya atau Lana langsung tidak menyebut atau mengaitkan namanya.

“Roslan tiada di tempat kejadian jadi saya tidak tahu siapa dan bagaimana dakwaan pergaduhan kami itu sampai ke telinganya. Saya minta agar Roslan tidak lagi memuat naik sebarang video atau bercerita mengenai hal ini lagi,” jelasnya.

Walaupun sudah membuat laporan polis berkenaan isu tersebut, Norshila masih membuka ruang untuk berbincang dan menyelesaikan kemelut itu secara baik.

“Saya sekeluarga ingin memaklumkan kami tidak menuntut permohonan maaf daripada Lana atau Roslan, rakan peniaga dan artis yang menyebar fitnah tersebut selain mereka yang mengutuk dan mengeji.

“Kami menuntut mereka sama-sama mengangkat sumpah laknat supaya membenarkan kata-kata mereka adalah benar dan sekiranya tidak benar laknat Allah akan jatuh kepada mereka.

“Bagaimanapun saya tetap buka ruang untuk berbincang secara baik dan bermaaf-maafan selain menyelesaikan perkara ini dengan baik,” katanya.

Dalam pada itu juga, Norshila menafikan dakwaan Lana dia telah menendang troli sebaliknya hanya menguis bagi mengelakkan troli yang memasuki ruang gerainya dilanggar oleh orang lain yang boleh menyebabkan barangan dipamerkan terjatuh.

Semoga kemelut ini tidak berpanjangan dan mereka dapat menyelesaikannya dengan cara terbaik. Artis adalah ‘role model’ untuk masyarakat. Jadi, tak salah kalau masing-masing mengalah dan menunjukkan sikap yang berhemah. –KLICK.MY

Sumber: mStar Online

Tambah Komen

Klik di sini untuk komen