Hiburan Terkini

Neelofa, Khai Bahar Ungguli Kategori Utama Anugerah MeleTOP 2018

SEMALAM telah berlangsung Anugerah MeleTOP 2018 (AME2018) yang diadakan di Axiata Arena, Bukit Jalil dan disiarkan secara langsung di saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (124) pada pukul 9 malam.

Acara yang mempertaruhkan sebanyak 17 kategori anugerah itu menyaksikan penyanyi Khai Bahar dan pengacara Neelofa muncul sebagai pemenang utama untuk kategori Top Top MeleTOP Lelaki dan Perempuan.

Khai turut membolot dua lagi trofi menerusi kategori Penyanyi MeleTOP dan Lagu MeleTOP (Bayang).

Menerusi kemenangan itu, Khai membawa pulang hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM20,000 beserta trofi.

Selain itu, Neelofa juga membawa pulang dua trofi lain bagi kategori Pelakon TV MeleTOP dan Fesyen MeleTOP.

Drama lakonannya, Red Velvet bersama Alif Satar turut memenangi kategori Drama MeleTOP.

Seperti Khai, Neelofa, 29, membawa pulang hadiah wang tunai keseluruhan RM20,000 beserta trofi.

Bagi kategori utama, pemenang menerima hadiah wang tunai RM10,000 manakala kategori lain RM5,000 beserta trofi sumbangan Astro.

Dalam pada itu, pelakon filem Abang Long Fadil 2, Zizan Razak berjaya mempertahankan trofi Artis Lawak MeleTOP yang dimenanginya tahun lalu.

Manakala gandingan Neelofa dalam program MeleTOP, Nabil Ahmad membuat kejutan apabila memenangi kategori Hos MeleTOP dengan menumpaskan empat calon kegemaran lain iaitu Alif Satar, Datuk AC Mizal, Jihan Muse dan Siti Nordiana.

AME2018 juga memberikan Anugerah Khas kepada bekas pembaca berita Dunia Jam 10 RTM, Datuk Harjit Singh Hullon bagi menghargai bakti beliau dalam bidang penyiaran selama 45 tahun sejak 1971.

Pada 2011, beliau telah menerima pengiktirafan sebagai Penyampai Berita Televisyen Paling Lama Berkhidmat oleh Malaysia Book of Records.

Anugerah disampaikan oleh pengacara terkenal Datuk Aznil Nawawi.

Nabil Ahmad, Neelofa bertindak sebagai pengacara AME2018 bersama hos jemputan; Sabri Yunus, Sherry Alhadad, Jihan Muse dan Zul Ariffin.

Pemilihan pemenang berdasarkan seratus peratus undian peminat menerusi laman web khas yang disediakan.

Berikut adalah senarai penuh pemenang AME2018:

Artis Baharu MeleTOP – Farah Nabilah
Si Cilik MeleTOP – Arif Jiwa Asyraf
Couple MeleTOP – Jep Sepahtu & Sari Yanti
Program Radio MeleTOP – Johara Pagi Era
Penyampai Radio MeleTOP – Johan (Era)
Program MeleTOP – Sepahtu Reunion Live 2017
Hos MeleTOP – Nabil MeleTOP
Artis Lawak MeleTOP – Zizan Razak
Drama MeleTOP – Red Velvet
Pelakon MeleTOP – Neelofa
Grup/Duo MeleTOP – Datuk Seri Siti Nurhaliza & Faizal Tahir
Penyanyi MeleTOP – Khai Bahar
Lagu MeleTOP – Bayang (Khai Bahar)
Filem MeleTOP – J Revolusi
Bintang Filem MeleTOP – Nur Fazura (J Revolusi)
Top Top MeleTOP (Lelaki) – Khai Bahar
Top Top MeleTOP (Wanita) – Neelofa

Tahniah kepada semua pemenang! –KLICK.MY

Tambah Komen

Klik di sini untuk komen