Viral

Nama Muhammad Dhury Yan, Nur Rambutt’an Tarik Perhatian Netizen

BIASANYA nama bunga sering digunakan orang dulu-dulu untuk diberikan kepada anak-anak yang baru dilahirkan.

Apabila zaman semakin ke hadapan, nama tersebut jarang digunakan lagi sebaliknya masyarakat kini gemar menggunakan nama yang mempunyai unsur-unsur perkatan Arab.

Namun, terbaharu pengguna internet atau netizen terkejut dan tertarik dengan penularan nama kanak-kanak yang unik serta kedengaran seperti nama buah-buahan tempatan.

Muhammad Dhury Yan yang lahir pada 21 Ogos 2012 dan adiknya, Nur Rambutt’an yang lahir pada 14 Mac 2017 menjadi bualan hingga tular seluruh negara.

Bapa mereka, Abi Amin Mahayadin, 40, mengakui terkejut dan kesal dengan sikap pihak tidak bertanggungjawab yang telah menularkannya.

Menurutnya, sejak menjadi tular, dia menerima kecaman hebat daripada netizen namun mengambil pendekatan positif kerana memikirkan tindakan menamakan kedua-dua anaknya adalah keputusan keluarga.

“Nama ini dapat daripada orang lama-lama. Mereka orang baik-baik, ada pertalian keluarga juga, macam pangkat tok-tok, jadi kami ikut sahaja,” katanya.

Sungguhpun ramai yang mengatakan nama tersebut mirip nama buah-buhan, tetapi Abi Amin menyangkalnya.

Menurutnya, ia tiada kaitan dengan nama buah durian dan rambutan.

Difahamkan, Muhammad Dhury Yan diberi gelaran Yan dalam keluarga manakala Nur Rambutt’an digelar Adik An atau Nora.

Kedua-dua beradik ini juga baharu sahaja menerima kelahiran seorang adik lelaki berusia 20 hari yang belum diberi nama.

“Yang baru ni tak dak nama lagi, tunggu tok depa bagi,” katanya.

Beliau bagaimanapun mengharapkan masyarakat menghormati keputusan keluarga itu tanpa meninggalkan sebarang persepsi sehingga menjejaskan masa depan anak-anaknya. –KLICK.MY

Sumber: Sinar Harian Online

 

Tambah Komen

Klik di sini untuk komen

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.