Luar Negara Terkini

Nak Biayai Rawatan Adik, Budak Lelaki Tak Makan Sarapan Dua Tahun

BUKTI kasih sayang abang kepada adiknya, seorang kanak-kanak sanggup mengikat perut dengan tidak makan sarapan selama dua tahun untuk menyimpan wang bagi membiayai kos rawatan adiknya.

Li Guoliang dari daerah Le’an, wilayah Jiangxi menyimpan 1,353 yuan (RM838) dalam tin biskut untuk kos rawatan adik lelakinya berusia lima tahun yang menghidap barah hati.

“Ini mesti cukup untuk merawat adik,” katanya ketika menyerahkan wang syiling dan not satu yuan kepada bapanya.

Jumlah wang simpanan Guoliang sebenarnya hanya cukup bagi kos rawatan sehari namun menurut South China Morning Post, ia pengorbanan seorang abang yang amat bermakna.

“Saya mahu hantar wang ini kepada ibu bapa di Beijing melalui pos namun posmen tidak membenarkannya,” kata Guoliang.

Portal berita itu yang memetik laporan Tencent menyatakan, rawatan adik Guoliang merangkumi tiga pembedahan dan 24 kali kemoterapi sejak 2016 menelan belanja hampir sejuta yuan (RM619,000).

Ibu bapa Guoliang tinggal berhampiran hospital tempat adiknya dirawat di Beijing, manakala kanak-kanak itu ditinggalkan bersama ibu saudara di kampung.

Keluarga berpendapatan rendah itu kini berhutang keliling pinggang kerana datuk Guoliang juga baru menjalani pembedahan kaki, manakala neneknya sukar melihat akibat katarak. –KLICK.MY

Tambah Komen

Klik di sini untuk komen

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.